Rakyat perlukan ‘joran’
Impak negatif Covid-19 sememangnya mempengaruhi dua krisis utama dihadapi negara iaitu kesihatan dan ekonomi dengan rakyat menganggur mencecah 750,000 orang.
Pada 5 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Belanjawan 2021, memaklumkan kadar pengangguran di negara ini menurun daripada 5.3 peratus sewaktu Covid-19 mula menular, kepada 4.3 peratus setakat bulan Ogos lalu.
Selain pengumuman angka perbelanjaan terbesar dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion, Belanjawan 2021 juga dilihat menumpukan kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan melindungi syarikat-syarikat mikro dan makro melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Negara.
Entiti baharu yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu secara umum berfungsi menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan kerja.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mendedahkan inisiatif melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang dijangka menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu selain pelbagai program peningkatan kemahiran dengan perbelanjaan RM3.7 bilion.
Atas kertas, segala perancangan kerajaan untuk menangani masalah pekerjaan terutama dalam kalangan mereka terjejas akibat Covid-19 tampak menarik dan penuh optimistik.
Namun, sejauh mana penubuhan Majlis Pekerjaan Negara akan benar-benar mencapai objektifnya dan adakah entiti itu bakal mengulangi nasib Majlis Harga Barang yang pernah ditubuhkan pada tahun 2008 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk mengawal kenaikan harga barang yang akhirnya tidak memberikan sebarang impak?
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mencadangkan fokus pelaksanaan itu perlu terarah kepada bidang-bidang pekerjaan baharu yang berbentuk perkhidmatan baharu.
Pada masa sama katanya, kerajaan tidak menghalang mereka untuk terjun dalam bidang keusahawanan dengan banyak program khusus ditawarkan melalui Belanjawan 2021 seperti program perantisan kerja, skim insentif khas pekerja tempatan ganti pekerja asing dan program peningkatan kemahiran RM1 bilion.
“Dalam Belanjawan 2021, banyak ‘joran’ sebenarnya yang kerajaan sudah sediakan untuk digunakan golongan terkesan Covid-19 terutama belia bagi memancing hasil pendapatan.
“Cuma persoalan ‘joran’ yang mana perlu diberikan tumpuan wajar dibincangkan secara terperinci agar ia tidak tersasar daripada objektif pelaksanaannya,” katanya.
Menyokong persoalan ‘joran’ dibangkitkan Wan Ahmad Fayshal, pakar ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, memuji pendekatan proaktif diambil Kementerian Wilayah Persekutuan dengan menjadikan Kuala Lumpur wilayah bebas berniaga.
“Hasil kajian pasukan saya mendapati hampir 80 peratus golongan M40 yang terkesan Covid-19, beralih pekerjaan dengan menjadi usahawan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
“Kerajaan kena lihat bagaimana kumpulan ini dipermudahkan urusan perniagaan mereka. Bagi saya, tindakan Menteri Wilayah Persekutuan proaktif, tepat,” katanya.
Justeru, tumpuan utama kerajaan mengelakkan lebih ramai pekerja berdepan risiko kehilangan kerja pada tahun hadapan adalah dengan memfokuskan usaha mempertahankan golongan M40 daripada jatuh menjadi golongan B40.
Ahmad Azrin Adnan menegaskan, caranya adalah inisiatif JanaKerja perlu benar-benar disuntik ke tempat sepatutnya bagi memastikan objektif penawaran 500,000 peluang pekerjaan tercapai.
Wujudkan pekerjaan baharu
Tegasnya, kerajaan boleh memfokuskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada setiap sektor ekonomi paling terkesan dengan pendekatan mengenal pasti kelemahan rantaian perkhidmatan dalam sektor terjejas.
Paling penting katanya, sektor-sektor perniagaan paling teruk terjejas perlu diberi keutamaan dengan kerajaan jangan terlalu ghairah menyuntik dana kepada pelbagai program reskilling dan upskilling yang bakal ditawarkan, namun akhirnya tidak mewujudkan peluang pekerjaan sepatutnya.
Ahmad Azrin bagaimanapun memberi pandangan Majlis Pekerjaan Negara bukan inisiatif jangka pendek daripada kerajaan kerana usaha menurunkan kadar pengangguran negara tidak akan tercapai dalam setahun.
“Saya juga berkeyakinan entiti ini tidak akan menerima nasib sama seperti Majlis Harga Barang suatu ketika dahulu, lebih-lebih lagi ia satu komuniti dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.
Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran pula mendedahkan hanya 27 peratus pekerja di Malaysia yang dikategorikan separa mahir dan berkemahiran tinggi, berbanding Singapura yang mencatatkan angka 60 peratus.
“Bukan setakat kerajaan perlu mengagihkan wang ke tempat yang betul, lebih mustahak kerajaan perlu mengenal pasti jaringan ‘tracer’ kukuh bagi memastikan peserta program reskilling dan upskilling dijamin peluang pekerjaan selepas itu,” katanya.
Ironinya, Kulasegaran pula mengalu-alukan penubuhan Majlis Pekerjaan Negara dengan syarat ia tidak bersifat kosmetik.
Namun begitu, beliau menyuarakan kebimbangan penubuhan entiti baharu itu bakal membayangi Majlis Penasihat Pekerjaan Negara (NLAC) yang sudah ditubuhkan sejak 20 tahun lalu dan memfokuskan permasalahan sama.
“Pendapat saya, polisi yang baik sebenarnya perlu dikekalkan dan saya tidak pasti sama ada Majlis Pekerjaan Negara juga akan mengalu-alu keterlibatan peranan wakil rakyat pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam satu kenyataan menegaskan program JanaKerja wajar menjadi antara fokus utama pelaksanaan Belanjawan 2021 kerana ia bakal menjadi penentu kejayaan belanjawan itu sendiri.
“Mengenai program JanaKerja, kalau dicongak nilainya lebih kurang RM7,000 seorang setahun (bagi setiap peserta).
“Sekiranya benar andaian program itu akan disekalikan jaminan pekerjaan, ini mungkin bibit permulaan pembudayaan baharu di mana kerajaan menjadi peserta aktif dalam pasaran kerja bagi mengisi kelompongan sektor swasta dan bergerak ke aspirasi pengangguran sifar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!