Tick Surah Talk Santun dekati isu remaja, solusi al-Quran
SHAH ALAM - “TickTalkTV lain daripada yang lain. Setiap masalah ada solusi dalam al-Quran. Inilah peluang remaja di luar sana untuk menonton rancangan tersebut bagi mendapat informasi yang tepat.”
Demikian kata panelis TickTalkTV, Aira Sabrina Bukhari, 23, ketika ditemui pada sesi rakaman Tick Surah Talk Santun: Suara Remaja Milenia di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada 5 November lalu.
Beliau yang merupakan usahawan muda dan penuntut Universiti Teknologi Mara akan berkongsi pengalamannya dalam bidang keusahawanan dalam Episod 4 yang bertajuk 'Berjaya Tanpa Ilmu' pada Sabtu ini di platform digital TickTalkTV.
Sejak berada di Tingkatan 4, Aira Sabrina mula menjual sarung tangan, tudung jenama sendiri, Airanisz bersama kakaknya. Kini beliau menjadi Top Master Stokis bagi produk penjagaan kulit sejak tahun 2018.
“Saya berniat berniaga untuk membantu keluarga. Alhamdulillah, saya dapat membawa ibu bapa pergi umrah tiga tahun berturut-turut. Awal tahun ini, seramai 12 ahli keluarga dibawa menunaikan umrah.
“Anak muda di luar sana boleh memanfaatkan dan mendapat inspirasi daripada perkongsian pengalaman saya ini. Jika hendak berjaya, kita perlu ada ilmu. Pelajar perlu bijak membahagikan masa dan pelajaran dan bisnes.
“Kita perlu ada impian yang besar supaya lebih bersemangat untuk mencapainya. Teruskan usaha dan jangan pernah kata kita masih muda. Masa muda inilah kita kerah habis-habisan tenaga untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu, penceramah bebas, Ustaz Nasri Nasir berkata, TickTalkTV yang menggunakan media sosial mampu menarik minat anak muda kerana ada elemen al-Quran dan istighfar.
"Mereka boleh mengikuti rancangan tersebut dalam apa jua situasi melalui platform digital tersebut.
“Saya bercadang untuk memperkenalkan program tersebut ke institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara selepas tamat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seawal tahun 2021.
“TickTalkTV sangat bagus kerana isu remaja yang diketengahkan dikaitkan dengan solusi daripada al-Quran. Ini bertujuan untuk membantu remaja hari ini yang kekurangan pengisian rohani,” katanya.
Untuk menonton Tick Surah Talk Santun: Suara Remaja Milenia, sila ikuti dan Like TickTalkTV di Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter pada setiap Sabtu, jam 9 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!