Malaysia sambut baik pemeteraian RCEP: PM
KUALA LUMPUR - Malaysia mengalu-alukan pemeteraian perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dijadual ditandatangani pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-37.
Ketika berucap menerusi sidang video pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-23, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemeteraian RCEP menggambarkan sokongan padu Malaysia terhadap sistem dagangan multilateral dan intergrasi serantau.
"Malaysia percaya RCEP akan menjadi titik tolak terhadap usaha kita meningkatkan aliran pelaburan dan menggalakkan dagangan intra dalaman serantau.
"Ketika kadar pertumbuhan global dijangka perlahan di sekitar 3.5 peratus antara 2021 dan 2025, kita perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan aktiviti ekonomi terus mampan," katanya.
Muhyiddin berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memelihara rantaian bekalan serantau dan global menerusi penerokaan ekonomi digital.
“Sebagai sebahagian usaha membina semula ekonomi yang lebih kukuh selepas Covid-19, Malaysia percaya ASEAN dan China mesti meneroka sepenuhnya potensi ekonomi digital.
“Sewaktu wabak Covid-19 kita belajar banyak perkara daripada peningkatan penggunaan transaksi dalam talian dalam kehidupan harian," jelasnya.
Dalam ucapannya, Muhyiddin mengakui peri penting digital ekonomi dalam merombak semula ekonomi kerana ia mampu menyumbang terhadap penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, menggalakkan pertumbuhan dan kelestarian perniagaan terutama untuk sektor mikro, kecil dan sederhana (MSME). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!