KITS selesai masalah sistem tiket KTMB

Kamarulzaman pada sidang media selepas majlis pelancaran KTMB Integrated Ticketing System (KITS) di Stesen Arau hari ini. 
- Foto Bernama
Kamarulzaman pada sidang media selepas majlis pelancaran KTMB Integrated Ticketing System (KITS) di Stesen Arau hari ini. 
- Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Sistem pengurusan tiket ‘Integrated Ticketing System’ (KITS) yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada bulan Ogos lepas telah berjaya menyelesaikan masalah pengurusan sistem tiket yang dihadapinya sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, sistem tiket KTMB kini telah pulih sepenuhnya dan lebih mesra pelanggan berbanding dengan sistem terdahulu yang mempunyai beberapa kelemahan.

“Bagi saya, dalam masa setahun, kita telah berjaya menyelesaikan masalah berkaitan dengan pembelian tiket dan akan sentiasa memantau pandangan pengguna untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan KITS di stesen KTMB Arau, dekat sini hari ini.

KTMB pada 18 November tahun lepas dilaporkan mengalami masalah penjualan tiket apabila sistem penjualan tiketnya tergendala akibat menerima permintaan tiket yang mendadak bagi perjalanan pada Disember (2019) serta Januari dan Februari tahun ini.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika itu meminta KTMB merombak semula sistem tiketnya untuk menjadikannya mesra pengguna.

Kamarulzaman berkata, KTMB telah melabur kira-kira RM11 juta dan melantik syarikat tempatan bagi menggantikan sistem tiket yang terdahulu dengan KITS.

Menurut beliau KITS telah siap sepenuhnya dan telah diguna pakai di 103 stesen yang mempunyai rangkaian hubungan tren elektrik (ETS), KTM Intercity dan Komuter Utara.

“Sistem yang mempunyai wajah baharu ini lebih mesra pengguna, malah ia turut menyediakan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Penumpang juga boleh membuat pilihan tempat duduk dan mereka akan mendapat notifikasi sekiranya terdapat tren yang dibatalkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kamaruzaman selain mesra pengguna, sistem ini turut memperkenalkan KTMB eWallet iaitu akaun elektronik untuk pelanggan membuat bayaran transaksi pembelian atau pemulangan tambang secara dalam talian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!