Tukang rumah didenda RM1,000 rosakkan kereta jururawat
IPOH - Seorang tukang rumah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta milik seorang jururawat hingga pecah cermin belakang, Ahad lalu.
Zainudin Zainal, 59, yang juga seorang duda dua anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.
Mengikut kertas pertuduhan, Zainudin didakwa melakukan khianat harta iaitu kereta Proton Saga milik Nurul Kamilah Baharudin, 37, di Kampung Pengkalan Baru, Kampung Kepayang pada jam lebih kurang 5.30 petang, 8 November lalu.
Perbuatan dilakukan tertuduh itu telah menyebabkan kerugian lebih kurang RM2,000.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian dan tindakannya yang memecahkan cermin adalah satu kesalahan berat.
"Mohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang dan waspada akan tindak tanduknya ketika di luar," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Intan Shafini Mior Shahrin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh sudah insaf dan menyesal dengan perbuatan itu.
"Berlaku salah faham ketika kejadian menyebabkan tertuduh tidak mampu menahan perasaan marah.
"Tertuduh menyesal dengan apa yang berlaku dan memohon maaf kepada mangsa serta mahkamah serta berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan sama," katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.
Semalam Sinar Harian melaporkan, seorang jururawat di sebuah hospital swasta di sini trauma apabila diserang seorang lelaki yang secara tiba-tiba mengamuk dan merosakkan keretanya menggunakan batang besi karat.
Lebih mencemaskan, ketika kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang itu, tiga anak wanita terbabit berusia sembilan dan dua tahun serta bayi berusia tiga bulan berada di dalam kenderaan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat, dua anak trauma diserang lelaki amuk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!