Pasaran ekuiti dijangka tenang minggu depan
Ketua penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga dijangkakan menguji tahap 1,700 minggu depan selaras dengan sentimen pasaran yang positif di Wall Street dan pasaran serantau.
"Pada minggu yang baru berakhir, kami menyaksikan saham bemodal kecil menunjukkan prestasi yang baik dan dijangkakan berterusan, disokong oleh aliran masuk dana asing yang positif yang mencatatkan lebih daripada RM900 juta setakat ini.
"Bagaimanapun, kita juga perlu melihat bagaimana pelabur bertindak balas terhadap hasil rundingan perdagangan AS-China," kata Yee kepada Bernama.
Seorang lagi penganalisis, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata Februari menyaksikan beberapa keputusan kewangan bermusim korporat bagi tempoh berakhir 31 Disember, 2018, yang mungkin kurang bermaya, berdasarkan sebahagian besar keputusan yang dikeluarkan pada 29 dan 30 Januari .
"Kebanyakan pendapatan korporat mencatatkan kemerosotan disebabkan oleh nisbah harga perolehan (PE) yang lebih tinggi, yang menjadikan harga saham lebih mahal.
"Ini juga bermakna bahawa harga saham terbabit mahal berbanding pendapatan sesaham. Pendapatan tidak berkembang selari dengan paras harga saham," katanya.
Namun beliau berharap keputusan akan berubah bagi kalangan syarikat tersenarai dalam keputusan bermusim yang akan datang.
Pong juga berkata peserta asing mencatatkan aliran masuk bersih RM1.2 bilion ke negara ini sejak 9 Januari.
"Ini akan membantu pasaran ekuiti memandangkan pelabur asing melihat pasaran pesat membangun (EM) seperti Malaysia, kembali menarik.
"EM semakin cepat menjadi titik pertumbuhan global dengan keuntungan cenderung untuk terus berkembang. Walaupun EM berada pada paras terendah, ia mampu pulih dengan cepat, selain lebih murah daripada pasaran AS," katanya.
Pong menjangkakan FBM KLCI akan meningkat antara 1,720-1,730 dengan kelemahan terhad kerana indeks komposit masih terperangkap dalam julat sempit, dengan sokongan dilihat pada tahap 1,650.
Untuk minggu yang baru berakhir, bursa tempatan mencatat corak yang rendah, terutama dipengaruhi oleh faktor luaran seperti perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, keputusan mengenai kadar faedah Rizab Persekutuan AS serta pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan.
Indeks yang lebih rendah itu sebahagiannya diimbangi oleh harga minyak yang lebih tinggi dan aliran masuk asing yang positif.
Pada asas Khamis hingga Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 17.50 mata lebih rendah pada 1,683.53.
Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.
Indeks FBM Emas susut 125.34 mata kepada 11,660.62, Indeks FBMT 100 turun 123.65 mata kepada 11,545.21 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 173.12 mata kepada 11,552.61.
FBM 70 turun 163.08 mata kepada 13,817.21 dan Indeks FBM Ace susut 62.35 mata kepada 4,402.10.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 121.56 mata kepada 17,514.97, Indeks Perladangan susut 21.93 mata kepada 7,280.24, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 3.08 mata kepada 161.11.
Pada Khamis hingga Jumaat, jumlah dagangan mingguan susut kepada 8.77 bilion unit bernilai RM8.13 bilion berbanding 10.23 bilion unit bernilai RM8.22 bilion.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 6.32 bilion unit bernilai RM7.66 bilion berbanding 7.60 bilion unit bernilai RM7.75 bilion.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.38 bilion unit bernilai RM301.90 juta daripada 1.37 bilion unit bernilai RM251.08 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.05 bilion saham bernilai RM152.46 juta berbanding 1.34 bilion saham bernilai RM217.37 juta.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!