PRK Batu Sapi: BN sokong siapa saja calon dikemukakan GRS
KOTA KINABALU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan menyokong sesiapa saja calon yang akan dikemukakan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.
Beliau berkata, ia termasuk sekiranya ada calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Sesiapa saja kita bantu, kita dalam gabungan," katanya ketika ditanya Sinar Harian pada satu sidang akhbar di bilik mesyuarat di Jabatan Kerja Raya, di Sembulan hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, bagaimanapun tidak menafikan turut mendengar khabar angin bahawa Bersatu akan kemukakan calon pada pilihan raya itu.
"Khabar angin, semua orang dengar... saya belum pasti siapa mereka akan calonkan tetapi ada mengatakan salah seorang pemimpin Bersatu di Batu Sapi," katanya.
Beliau juga tidak menolak khabar angin bahawa Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai calon di Batu Sapi.
"Khabar angin (Khairul Firdaus), ya," jawabnya dengan ringkas.
Terdahulu, terdapat khabar angin bahawa Ketua Bersatu Bahagian Batu Sapi itu akan bertanding dalam PRK Batu Sapi bagi menentang calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Desas desus itu timbul apabila ada akar umbi di Batu Sapi enggan memberi laluan mudah kepada Warisan untuk menang tanpa bertanding di kerusi itu.
Malah, sehingga kini Bersatu Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Mohd Noor belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan bertanding atau sebaliknya manakala beberapa rakan dalam GRS seperti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK itu.
Warisan menerusi Naib Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong menjangkakan ada pertandingan dalam PRK itu berdasarkan pengalaman dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 5 Disember sebagai tarikh mengundi bagi PRK Batu Sapi selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!