Geng 'Ayip Gagap' aktif curi motosikal tumpas

Sebahagian bangkai motosikal yang dibuang dan ditemui di kawasan Sungai Bukit Rambai.
Sebahagian bangkai motosikal yang dibuang dan ditemui di kawasan Sungai Bukit Rambai.
A
A
A

MELAKA - Tujuh ahli kumpulan 'Geng Ayip Gagap' yang menjalankan kegiatan mencuri motosikal untuk dileraikan sejak dua bulan lalu tumpas dalam tangkapan secara berasingan.

Kumpulan itu diketuai seorang penganggur yang dikenali sebagai Ayip, menggunakan Facebook untuk menjual komponen motosikal yang dileraikan kepada pelanggan yang mencari alat ganti dengan harga serendah RM500.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kegiatan ahli geng yang didalangi individu berusia 19 hingga 32 yang menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 dan C70 itu berjaya dikesan pihaknya selepas seorang mangsa melaporkan kejadian motosikalnya dicuri selepas menunaikan solat jemaah di sebuah masjid di daerah ini kira-kira jam 6.20 pagi pada 5 Oktober lalu.

Menurutnya, bertindak atas aduan orang ramai termasuk kes kecurian motosikal mangsa itu, pihaknya mendapat petunjuk sebelum berjaya mengenal pasti geng yang terlibat dan membuat tangkapan pertama di Flat Padang Jambu, Bukit Baru pada 29 Oktober lalu.

"Suspek utama iaitu Ayip merupakan ketua kumpulan dan dia adalah perancang utama kes curi motosikal di daerah ini sebelum dileraikan dan bangkai motosikal kebanyakan dibuang dalam sungai di kawasan Bukit Rambai.

"Suspek dipercayai mencuri motosikal secara berseorangan di kawasan perumahan dan tempat yang sunyi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Afzanizar (tiga,kanan) menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang telah dileraikan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini, hari ini.
Afzanizar (tiga,kanan) menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang telah dileraikan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Katanya, suspek utama turut menjadikan rumah keluarganya di Peringgit sebagai transit untuk menempatkan motosikal yang dicuri dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan suspek kedua dan ketiga yang merupakan adik beradik dan bekerja sebagai pembantu kedai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, empat yang lain termasuk seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 tahun turut ditangkap secara berasingan kerana terlibat sama dalam kegiatan meleraikan dan sebagai pengangkut barang curi berkenaan.

Selain itu, katanya, hasil saringan ujian air kencing suspek utama turut didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi motosikal, pecah rumah dan jenayah keganasan.

"Tiga suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi termasuk dalang kumpulan itu masih direman sehingga Isnin depan bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

"Susulan penangkapan semua suspek, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes kecurian motosikal yang melibatkan kerugian RM40,000 di sekitar daerah ini," katanya..

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!