Muhyiddin gesa ASEAN, India bersama ke arah pemulihan pasca pandemik

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin ASEAN dan India berganding bahu memerangi Covid-19 dan menangani cabaran bersama dengan lebih responsif dan kohesif kerana banyak yang perlu dilakukan untuk pemulihan selepas wabak melanda.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-17 hari ini, beliau berkata, sudah masanya kedua-dua pihak meneroka kemungkinan kerjasama dalam pemulihan ekonomi selepas pandemik melanda dalam usaha mengekalkan kesalinghubungan rantaian bekalan serta memastikan aliran lancar bekalan perubatan, makanan dan keperluan.

Muhyiddin turut berkata, Malaysia bersama semua anggota ASEAN sedia bekerjasama dengan India dalam pembangunan dan penghasilan vaksin Covid-19.

Merujuk kepada usaha peringkat global yang sedang berlangsung bagi membangunkan dan mengeluarkan secara besar-besaran vaksin untuk Covid-19, beliau berkata, Malaysia menekankan pelalian itu seharusnya diiktiraf sebagai barangan keperluan awam sejagat pada harga berpatutan dan mudah dimiliki semua.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India terhadap bantuan yang dihulurkan kepada warga ASEAN terutama rakyat Malaysia yang terkandas di India sejak pandemik melanda.

"Saya sedar ini adalah suatu isu yang sukar ditangani, tetapi dengan setia kawan dan kerjasama antara kedua-dua kerajaan dalam perkara ini seperti yang sudah dibuktikan, kita dapat bersatu dalam menanganinya," katanya.

Sementara itu, Malaysia percaya, ASEAN dan India boleh memperkukuh dan memperluaskan kerjasama sedia ada serta meneroka kolaborasi baharu dalam semua bidang kepentingan bersama.

Katanya, kedua-dua pihak seharusnya meningkatkan konsultasi politik dan keselamatan serta membangunkan agenda lebih proaktif dengan strategi dan keutamaan jelas menerusi pelbagai mekanisme ASEAN bertunjangkan prinsip Kepusatan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira untuk menyatakan, India amat komited dan sentiasa berusaha dalam mengukuhkan hubungannya dengan ASEAN. Ia tergambar menerusi minat ditunjukkan India untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama maritim bagi menentukan prinsip, objektif dan elemen bersama dalam Kerjasama ASEAN Indo-Pasifik (AOIP) dan Inisiatif ASEAN Indo-Pasifik bersama India (IPOI)," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dalam bidang ini memberikan kesan besar dan terserlah menerusi dialog untuk memastikan persekitaran aman, boleh diramal dan stabil bagi rantau Indo-Pasifik.

Hubungan dialog ASEAN-India bermula di peringkat sektoral pada 1992 sebelum dinaik taraf menjadi anggota dialog penuh pada Disember 1995.

Ia kemudian diperkukuh dengan pembentukan Sidang Kemuncak ASEAN-India pada 2002 ketika sidang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya yang dihoskan Vietnam selaku pengerusi ASEAN, bermula 12 hingga 15 November. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!