DBKK perlu kaji prosedur, kurangkan karenah birokrasi
KINABALU - Prosedur Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) harus dikaji dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kerenah birokrasi, kata Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Nordin Seman.
Menurut beliau ia sejajar dengan komitmen DBKK untuk mengutamakan harapan dan maklum balas pelanggan.
Katanya harapan masyarakat setempat harus dipenuhi dan setiap aduan harus ditangani segera, setidak-tidaknya pengadu harus dimaklumkan tentang perkembangan permasalahan yang dibangkitkan.
Justeru, tahap keberkesanan organisasi haruslah pada tahap maksimum dan tidak ada pembaziran serta kesilapan, katanya pada upacara menaikkan bendera bersempena ulang tahun ke-19 bandar raya Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nordin berkata dalam tempoh 19 tahun Kota Kinabalu menjadi bandar raya terdapat perubahan ketara dari segi pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kebersihan.
Katanya aspek tersebut akan terus diberi perhatian khususnya membaiki infrastruktur dan peluang ekonomi untuk kesejahteraan penduduk di bandar raya ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!