Hanya mandat rakyat mampu selamatkan negara: Shahrir Samad

Kenyataan dimuat naik Shahrir di Facebook beliau hari ini.
Kenyataan dimuat naik Shahrir di Facebook beliau hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya mandat rakyat yang mampu menyelamatkan rakyat dan negara daripada kelemahan kepimpinan negara hari ini, kata tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Shahir berkata, permintaan awal UMNO-Barisan Nasional (BN) pada Mac lalu sememangnya tepat bahawa jalan yang terbaik bagi menyelesaikan krisis politik negara ialah dengan kembali kepada mandat rakyat.

Menurutnya, kepimpinan lemah tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara ketika rakyat berhadapan dengan kesan kehidupan mencabar ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, beliau sebelum ini pernah ditanya mengapa beliau perlu memberi hujah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah negara.

"Kesilapan Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan politiknya menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat kononnya kerana inilah caranya negara boleh mengatasi wabak Covid-19 sebenarnya telah membuka kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.

"Ia suatu tindakan yang terdesak dan mendedahkan kelemahan kumpulan penasihat dan perancang Tan Sri Muhyiddin, 'inner circle'nya dan jemaah menteri PN," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir memberitahu, apabila nasihat Muhyiddin ditolak oleh Seri Paduka Baginda, sekali lagi terdedah kelemahan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan lagi mengukuhkan sebab Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatannya itu.

Seterusnya, beliau berkata, kerajaan PN terpaksa berhadapan pula dengan Dewan Rakyat untuk meluluskan Bajet 2021.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang bajetnya itu mendapat pula 'talian hayat' dari Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar Belanjawan 2021 dilulus oleh Dewan Rakyat.

"Dah terbongkar lagi kelemahan kepimpinan kerajaan PN dibawah Tan Sri Muhyiddin!," katanya.

Tambah beliau, Muhyiddin dan PN juga ibarat sudah berdepan dengan keadaan 'kalah-kalah' apabila Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan untuk menyokong Bajet 2021 secara bersyarat.

"Nak ditolak saranan BNBBC pun susah, untuk diterima pun lagi kelihatan lemah PN.

"Tidak adil bagi rakyat dan negara terpaksa mendokong kepimpinan kerajaan yang lemah setelah baharu 30 bulan dahulu, mandat rakyat melalui PRU14 tidak akhirnya membawa kepada kebaikan dan manfaat untuk mereka," katanya.

Katanya, UMNO-BN bersabar dan sanggup mengetepikan keresahan menyokong sesetengah pemimpin yang pernah mengkhianati UMNO untuk mereka duduk sebagai pemerintah.

"Sudah tahu dengan pasti mereka (pemimpin) itu mudah mengkhianati kawan dan perjuangan, sekarang jangan bertolak ansur lagi. Mungkinkah boleh 'pengkhianat' bersifat ikhlas?" Katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!