'Labur' tuntut hadiah lumayan tanpa sedar ditipu scammer

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita sanggup 'melabur' RM5,500 untuk menuntut hadiah lumayan yang dikirim kenalan Facebook tanpa menyedari dia sebenarnya menjadi mangsa penipuan 'Parcel Scam'.

Mangsa berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pegawai pemasaran dari Bera menerima kiriman hadiah kononnya berupa telefon bimbit, kasut, barang kemas dan wang tunai AS$19,500 (RM79,881) itu sebagai tanda terima kasih kerana mendoakan kejayaan kenalannya itu yang disambung kontrak kerja dengan majikan di Amerika Syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, suspek yang menggunakan nama David Wong menghubungi mangsa melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 24 Januari lalu memaklumkan hadiah tersebut sudah dikirimkan melalui kiriman udara.

“Pada hari berikutnya, mangsa menerima SMS daripada seorang wanita dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) memaklumkan hadiah tersebut sudah tiba dan dalam simpanan pihak Kastam.

“Mangsa diminta menjelaskan cukai perkhidmatan berjumlah RM5,500 sebelum hadiah itu boleh dituntut dan dia (mangsa) membuat pemindahan wang kepada akaun yang diberikan bagi tujuan itu, petang hari yang sama,” katanya.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas hadiah yang dijanjikan tidak diterima dan syak dia menjadi mangsa penipuan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pelajar turut menerima nasib sama apabila ditipu RM5,000 sekumpulan menyamar polis.

Mangsa berusia 21 tahun juga dari Bera menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, Kelantan kononnya dia terlibat dalam kemalangan di daerah itu pada 27 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa dimaklumkan notis saman ke atasnya akan dibuat kerana melanggar seorang wanita dan kereta jenis Honda yang digunakan ditemui di hadapan sebuah hotel di Kota Bharu.

“Mangsa menafikan kejadian sebelum panggilan disambung kepada pegawai di IPD Kota Bharu untuk diambil keterangan dan dimaklumkan polis turut menemui sejumlah dadah dalam kereta tersebut.

“Suspek menggertak mangsa kononnya waran tangkap sudah dikeluarkan dan akaun bank milik pengadu akan dibekukan. Suspek turut meminta mangsa memindahkan wang dalam akaunnya untuk siasatan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bagi mengelak ditangkap mangsa menyerahkan kata laluan perbankan internet dan selepas 20 minit mangsa mendapati wang dalam akaunnya dipindahkan ke akaun lain.

“Syak ditipu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes kedua-dua kes tipu ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!