Kes Covid-19 di Kelantan terus meningkat
KOTA BHARU - Kes koronavirus (Covid-19) di Kelantan semakin bertambah dengan lima kes terbaharu direkodkan hari ini yang menjadikan 22 pesakit dalam rawatan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, ia melibatkan kes ke 201 dan 202 (Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu) yang juga kontak rapat kes 198.
“Seterusnya kes ke 203 (Mukim Pangkal Meleret, Machang) adalah Saringan Survelan Covid-19 manakala kes ke 204 dan 205 (Mukim Banggu, Kota Bharu) adalah kontak rapat kes 200,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Kelantan menerusi kenyataannya hari ini memberitahu empat kes baharu iaitu ke 201, 202, 204 dan 205 adalah dari Kluster Kube.
Kenyataan tersebut juga memaklumkan terdapat satu pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi iaitu kes ke 203 manakala tiada kes sembuh dilaporkan.
Kenyataan terbabit memaklumkan daerah Machang, Jeli, Kota Bharu dan Tanah Merah masih lagi zon kuning.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!