PM, jemaah menteri sertai program Semarak Cinta Rasul
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyertai program Semarak Cinta Rasul bersama jemaah menteri yang dilakukan secara sidang video.
Program yang bermula kira-kira 7.30 malam itu disertai Muhyiddin bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dari kediaman Perdana Menteri.
Sementara menteri lain menyertainya dari pejabat atau kediaman masing-masing.
Antara menteri-menteri yang terlibat ialah Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam acara yang berlangsung hampir sejam yang dibimbing oleh Dr Luqman itu, Perdana Menteri serta menteri terlibat mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan zikir munajat.
Majlis diakhiri dengan doa kesejahteraan kepada rakyat, barisan hadapan dan negara Malaysia oleh Dr Luqman.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) itu disiarkan secara langsung dalam laman Facebook rasmi Perdana Menteri dan JAKIM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!