'Geng Muniandy' aktif pecah rumah di Hulu Selangor tumpas

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan lapan lelaki ahli dipercayai ‘Geng Muniandy’ yang disyaki melakukan kegiatan pecah rumah di Kampung Baru Tambahan, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini pada 21 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, polis melakukan tiga serbuan di beberapa lokasi sekitar kawasan Hulu Selangor, dan menahan kelapan-lapan warga tempatan berusia antara 15 dan 27 tahun.

“Hasil serbuan, polis merampas 54 jenis barang berharga antaranya sebuah kereta Proton Iswara, dua jenis mesin rumput, empat jenis televisyen berjenama, empat jenis komputer riba pelbagai jenama dan pelbagai jenis barang elektronik yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arsad berkata, saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala tujuh lagi negatif.

“Semakan terhadap suspek mendapati lima orang mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Sebelum itu, polis menerima satu laporan daripada pengadu, seorang suri rumah berusia 55 tahun bahawa jirannya memaklumkan rumahnya dipecah masuk, kerana lampu rumah didapati bernyala.

“Pada 8.30 pagi pengadu telah sampai di rumah dan mendapati pintu depan rumah telah terbuka, gril pintu telah dikopak dan bahagian di ruang tamu berselerak.

“Pengadu membuat pemeriksaan, mendapati barang-barang yang hilang adalah televisyen, mesin pengisar, satu tong gas, empat pasang kasut, lima botol arak pelbagai jenama, duit syiling bernilai kira-kira RM100, dengan anggaran kerugian sebanyak RM6,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Arsad berkata kesemua suspek direman selama 10 hari bermula dari 4 November untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, kelapan-lapan suspek dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar kawasan Hulu Selangor dan dengan tertangkapnya mereka polis percaya telah dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah di kawasan berkenaan. Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!