ATM dijangka terima enam helikopter MD530G mulai Jun tahun depan
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menerima enam helikopter jenis MD530G secara berperingkat mulai Jun tahun depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau bagaimanapun berkata, aset berkenaan perlu melalui proses ujian penilaian dan memenuhi kriteria aset ATM sebelum Kerajaan Malaysia menerima aset itu.
"Ujian penilaian bermaksud helikopter berkenaan perlu dibuat penilaian dari segi sama ada sesuai untuk dijadikan aset ATM atau sebaliknya.
Hari ini satu pasukan telah berlepas ke Amerika Syarikat bagi membuat ujian penilaian helikopter berkenaan sebelum ia dipersijilkan sebagai aset ATM,” kata beliau yang juga Menteri Pertahanan selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara Bernama TV: "Belanjawan 2021: Memperkasa Pertahanan” di sini malam tadi.
Ismail Sabri berkata, sekiranya helikopter itu sesuai dijadikan aset ATM, satu lagi pasukan akan dihantar ke sana untuk melakukan proses persijilan aset ATM.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penambahan anggota ATM, Ismail Sabri berkata kementerian sedang memohon mengenai penambahan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Sekarang ini, kita merancang untuk menambah bilangan keanggotaan ATM di Sabah dan Sarawak kerana kawasan sempadan di sana lebih luas sebagai contoh di Lahad Datu,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Mindef jelas isu kelewatan penghantaran helikopter MD530G
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!