Pembantu rumah Muslim 17 tahun bersama ADUN Jeram Padang

Manickam (kanan), Sama (tiga dari kanan) bersama ahli keluarga Manickam.
Manickam (kanan), Sama (tiga dari kanan) bersama ahli keluarga Manickam.
A
A
A

JEMPOL - Berkhidmat selama 17 tahun sebagai pembantu rumah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam, Sama Soka, 62, bertuah kerana majikannya seorang yang penyayang malah sudah menganggapnya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

Sama yang berasal dari Kampung Subang, Jawa Timur, Indonesia berkata, berlainan agama tidak menjadi penghalang untuk dia melakukan syariat Islam.

"Mereka tidak pernah menghalang saya solat, mengaji dan berpuasa sama ada puasa sunat atau ketika Ramadan," katanya ketika ditemui di rumah Manickam sempena sambutan Deepavali hari ini.

Sama Soka
Sama Soka

Menurutnya, isteri Manickam, Datin V Vimala, 56, dan tiga anak mereka Mugilan, 30; Aghilan, 24, dan Indhu, 22 turut menghormatinya sebagai seorang Muslim.

"Perkara yang tidak dapat saya lupakan ialah Datuk pernah tanggung kos saya melakukan umrah pada 2016 berjumlah RM12,000 selain memberi duit belanja.

"Saya sepatutnya menunaikan umrah pada tahun 2014 tetapi ditipu ejen dari Jakarta yang menguruskan umrah berkenaan sebelum Datuk tolong selesaikan masalah itu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Deepavali, Sama berkata, majikannya juga membelikannya pakaian baharu selain menghadiahkan pakaian baharu setiap kali sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaan pada malam sebelum sambutan kami bersama-sama memasak juadah kegemaran termasuk masakan dari Jawa Timur.

"Saya akan merindui saat ini jika satu hari nanti akan pulang juga ke Indonesia kerana mahu bersama ahli keluarga lain, namun biarlah masa menentukannya," katanya

Sama bersama Vimala masak bersama-sama menyiapkan juadah sambutan Depavali.
Sama bersama Vimala masak bersama-sama menyiapkan juadah sambutan Depavali.

Dalam pada itu, Manickam berkata, Sama ialah pembantu rumah paling dedikasi dan amanah dalam menjalankan tugasnya.

"Saya sentiasa menasihatkan anak-anak biarpun berbeza agama, perlu menghormati mereka yang lebih tua termasuk pembantu rumah.

"Saya juga tidak kisah apabila melihat anak-anak mesra dengan pembantu rumah, malah akan memarahi mereka jika kedekut untuk belanja Sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!