Sukar, janggal sambut Deepavali tanpa keluarga

P Sumathi
P Sumathi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Deepavali kali ini berbeza daripada tahun sebelum ini kerana terpaksa menyambutnya dalam suasana dan normal baharu terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi G Ramesh, 45, dan isteri P Sumathi, 41, mereka akur dengan arahan kerajaan dan mengikuti normal baharu itu walaupun tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, pertama kali meraikan Pesta Cahaya itu tanpa keluarga dan saudara sememangnya sukar dan janggal.

"Saya hanya membeli satu set pakaian untuk kami berdua dan anak lelaki, Kirubaaran berusia enam tahun, berbanding tiga pakaian bagi sambutan perayaan Deepavali sebelum ini.

"Walaupun sedih tidak dapat meraikannya dengan meriah seperti tahun-tahun lalu, Deepavali kali ini tetap memberi makna buat keluarga kecil kami," katanya ketika ditemui pemberita di Kuil Sri Subramaniar, Tampoi di sini hari ini.

G Ramesh
G Ramesh

Ramesh yang merupakan seorang pengurus penyelidikan dan pembangunan di sebuah syarikat swasta antarabangsa di sini berkata, keluarganya tidak membuat permohonan rentas negeri kerana bimbang penularan koronavirus (Covid-19) selain atas faktor mempunyai anak kecil.

"Perayaan Deepavali memang agak sederhana tetapi tetap meriah. Kami menyambutnya seperti biasa cuma tanpa ahli keluarga di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap semua yang pergi ke rumah ibadat hari ini dapat mengekalkan prosedur operasi standard (SOP), jaga diri kita dan yang penting keluarga dan orang lain," katanya.

Sumathi pula berkata, rutin hariannya setiap kali sambutan Deepavali masih sama seperti sebelum ini dengan bangun awal pagi serta menyediakan juadah seperti tosei.

Menurutnya, mereka sekeluarga tetap pergi beraya di kawasan terdekat selain membuat panggilan video dengan ahli keluarga di kampung bagi mengubat rindu dan bertanya khabar.

"Anak saya ada tanya kenapa tidak membawanya pergi membeli-belah untuk persiapan Deepavali seperti sebelum ini tetapi dia faham kerana di guru tadikanya sudah memberi penerangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!