[VIDEO] Hakisan pantai di Terengganu semakin meruncing

Keadaan kawasan pesisir pantai di Kampung Pengkalan Maras yang semakin terhakis sejak dua hari lalu.
Keadaan kawasan pesisir pantai di Kampung Pengkalan Maras yang semakin terhakis sejak dua hari lalu.
A
A
A

KUALA NERUS – Angin kencang dan laut bergelora sepanjang Monsun Timur Laut di Terengganu menyebabkan masalah hakisan di daerah ini semakin meruncing sehingga meresahkan penduduk setempat terutama golongan nelayan yang tinggal di kawasan pesisir pantai.

Situasi itu turut menyebabkan sebuah jengkaut yang terlibat dengan projek pembinaan tembok penahan ombak di Kampung Pengkalan Maras, di sini dihanyutkan ke tengah laut sejak dua hari lalu.

Penduduk, Wan Zakaria Wan Mohamad, 63, yang tinggal berhampiran lokasi tersebut berkata, beliau menyedari berlaku perubahan drastik di kawasan pesisir pantai itu sejak Rabu lalu.



Azhar
Azhar

“Masalah hakisan di kawasan ini berlaku sejak tiga tahun lalu namun musim tengkujuh tahun ni memang nampak semakin teruk. Sebelum ini ada projek menyedut pasir di kawasan ini dan kebetulan jengkaut itu tidak dapat dihidupkan.

“Ketika pekerja sibuk mengalihkan paip ke kawasan berhampiran, jengkaut ini jatuh ke kawasan laut. Mujur tiada yang cedera dan semua yang ada selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kediamannya hari ini.

Menurut Wan Zakaria, jarak kediamannya dengan kawasan pantai sebelum ini sejauh 200 meter namun kini tinggal 10 meter sahaja.

"Tahun lepas pun musim tengkujuh sama juga ada juga berlaku hakisan. Kali ini keadaan semakin buruk. Saya sampai tak lena tidur malam bimbang ada apa-apa yang berlaku kepada kediaman yang menjadi tempat tinggal saya serta isteri, anak, menantu dan cucu.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga bimbang sekiranya berlaku situasi yang lebih buruk, ke mana saya nak bawa keluarga saya tinggal kerana saya sudah tiada tempat tinggal lain selain rumah ini dan saya juga ada sebuah bengkel di sebelah rumah untuk mencari rezeki,” katanya yang menetap di kampung itu sejak kecil.

Wan Zakaria berkata, beliau berharap ada usaha daripada mana-mana pihak untuk membaiki struktur pantai bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

“Saya harap sangat kerja-kerja membina benteng penahan ombak ini dapat diteruskan secepat mungkin untuk mengurangkan risiko hakisan sekali gus dapat menjamin keselamatan kami semua di sini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pengkalan Maras, Azhar Jusoh berkata, menurut jadual asal, projek pembinaan benteng penahan ombak itu sepatutnya sudah siap namun pembinaannya tertangguh akibat pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.



Wan Zakaria
Wan Zakaria

“Sepatutnya kerja-kerja pembinaan benteng penahan ombak yang baharu di kawasan ini sudah berjalan dan hampir siap. Kita tak sangka pula keadaan cuaca menyebabkan projek ini tergendala malah jengkaut yang digunakan juga turut dihanyutkan arus ke tengah laut.

“Jika projek ini dapat disiapkan lebih awal, saya percaya masalah hakisan seburuk ini dapat dielakkan dan kerosakan di kawasan pesisir pantai mungkin tidak terlalu teruk, malahan, keselamatan 10 keluarga yang menetap di kawasan ini juga lebih terjamin,” katanya.

Mengulas mengenai situasi buruk di kawasan itu, katanya, beliau berharap penduduk di kawasan tersebut dapat mengambil inisiatif awal sekiranya masalah hakisan bertambah teruk dan mengancam keselamatan nyawa.



Sebuah jengkaut dihanyutkan ombak ke tengah laut dalam kejadian hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Rabu lalu.
Sebuah jengkaut dihanyutkan ombak ke tengah laut dalam kejadian hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Rabu lalu.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerus, Kapten (PA) Zahidi Zainudin berkata, pihak keselamatan mengambil langkah awal memantau lokasi itu secara berkala setiap hari.

Katanya, pihak APM memasang pita penanda bagi menghalang orang ramai daripada menghampiri kawasan itu.

“Kami akan sentiasa membuat pemantauan berkala setiap empat jam di kawasan penempatan penduduk di sini. Kita harap orang awam dapat menjauhi kawasan pantai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!