'Mereka kata saya cacat, tak boleh kerja'
KAMPAR - Seorang ayah sedih mengenangkan nasibnya yang sukar mendapatkan kerja kerana kehilangan tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang di sini, 12 tahun lalu.
Menyedari tanggungjawab terhadap keluarga, dia berusaha mencari pekerjaan dengan pendapatan tetap, namun tidak pernah berhasil.
"Sudah merata saya cari kerja tetapi tak dapat, mereka kata saya cacat, susah nak bagi kerja," luah M Ramachandra, 39.
Menurutnya, bagi menampung perbelanjaan hidup bersama isteri dan dua anak masing-masing berusia 8 dan 7 tahun, dia mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong kayu dan mesin rumput dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan.
"Saya masih sihat dan boleh buat kerja, tetapi tak ada siapa mahu ambil saya bekerja, mujurlah saya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara bulanan berjumlah RM1,000.
"Wang bantuan inilah saya gunakan untuk tampung keluarga, nak lebih-lebih tidak adalah, apa yang ada ini cuma cukup-cukup makan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Mambang Diawan di sini sempena program Rezeki Ummat Deepavali anjuran MyFundAction Cawangan Perak, baru-baru ini.
Dalam program berkenaan, sebanyak 20 keluarga masyarakat India di sekitar daerah Kampar menerima bantuan kotak makanan berupa barang keperluan asas seperti beras, bihun, kicap, tepung, serbuk coklat dan pelbagai lagi yang berharga RM150.
Ramachandra berkata, dia berhasrat mengubah suai motosikalnya supaya boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan makanan secara bergerak memandangkan isterinya mempunyai kebolehan memasak.
"Niat untuk berniaga tu dah lama, tetapi nak ubah suai motosikal untuk orang kurang upaya pun perlukan modal tinggi.
"Jika ada yang sudi bantu, bolehlah saya berniaga kuih atau buah-buah potong, dapat juga tingkatkan pendapatan keluarga," katanya.
Nasib sama turut menimpa bapa kepada tiga anak, M Mohan, 35, yang hilang tangan kanan selepas terjatuh ketika melakukan kerja membaiki bumbung rumah lebih setahun lalu.
Katanya, sejak kemalangan itu, tidak ada lagi majikan mahu mengambilnya bekerja atas alasan cacat kekal.
Dia kini mengambil inisiatif mengusahakan ternakan ayam kampung secara kecil-kecilan bersama isteri di kediamannya di Taman Sejahtera Indah di sini bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Sudah dekat tujuh bulan saya usahakan ternakan ayam ini sekarang ada dalam 70 ekor, hasil jualan ayam dan telur itu dapatlah tambah belanja dapur dan sewa rumah.
"Dalam sebulan dapatlah dalam RM400 ditambah dengan bantuan bulanan daripada JKM, cukuplah untuk kami buat belanja," katanya.
Mohan berkata, mereka memang bercadang mengembangkan perusahaan ternakan ayam kampung itu, tetapi belum ada kemampuan terutama dari segi modal.
"Harap ada pihak-pihak yang sudi bantu, bukan sahaja dana tetapi menyediakan kawasan ternakan lebih sesuai," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus MyFundAction Cawangan Perak, Ahmad Umair Zulkefli berkata, bantuan kali ini memberi fokus kepada keluarga kaum India yang kurang berkemampuan sebagai tanda keprihatinan meringankan beban sempena sambutan perayaan Deepavali ini.
Katanya, di bawah projek membantu masyarakat, pihaknya juga bersedia menyalurkan bantuan-bantuan lain seperti membaiki kerosakan rumah atau menyediakan suntikan modal dan bantuan informasi yang boleh membantu perniagaan.
"Seperti kes dua keluarga ini, mereka masih muda, hanya tidak ada peluang bekerja disebabkan taraf sebagai kurang upaya.
"Melalui MyFundAction kita bantu cadangkan bantuan-bantuan yang bersesuaian agar akhirnya mereka boleh bergantung kepada diri sendiri untuk menjana pendapatan masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!