Pemilik bot perikanan laut dalam mohon peruntukan Bajet 2021
ALOR SETAR - Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah mohon kerajaan menyediakan peruntukan tambahan kepada pemilik bot perikanan laut dalam menerusi Belanjawan 2021.
Setiausahanya, Tan Chee Seng berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) sejak awal tahun lalu turut menyebabkan golongan itu terjejas.
Menurutnya, pemilik bot Zon C dan C2 laut dalam memerlukan bantuan berikutan mereka tidak dapat turun ke laut sepanjang Covid-19 melanda negara, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
“Selama ini kami tidak pernah mohon bantuan. Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, kami langsung tidak ada pendapatan kerana bot tidak dapat beroperasi untuk tangkapan ikan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Chee Seng berkata, pemilik bot memohon kepada kerajaan agar bantuan yang disalurkan kepada nelayan pantai turut diperluaskan kepada mereka.
“Kami bukan sekadar tiada pendapatan, malah kami terpaksa keluarkan duit simpanan untuk bayar sewa pelantar dan gaji pekerja serta kos membaiki bot yang tersadai.
"Antara bantuan atau aspek yang boleh diperhalusi kerajaan ialah kos kuarantin pekerja asing yang membebankan. Kami harap kos ini dihapuskan sementara waktu atau dikurangkan kerana pemilik bot Zon C dan C2 kebanyakannya menggunakan tenaga pekerja asing khususnya dari Thailand,” katanya.
Menurutnya, kos kuarantin bagi seorang pekerja asing adalah sekitar RM4,700 dan kosnya meningkat bergantung kepada jumlah pekerja.
“Sebagai contoh, sebuah kapal pukat tunda memerlukan antara empat hingga lima pekerja, manakala bagi bot pukat jerut memerlukan sekitar 20 hingga 30 pekerja. Lihat sendiri berapa banyak kos perlu disediakan untuk beroperasi.
"Pendapatan nelayan bukan lumayan, kalau kos itu dipotong mereka tentu tidak mahu datang kerja,” katanya.
Chee Seng berkata, pihaknya terpaksa menggajikan pekerja asing susulan tenaga kerja tempatan tidak berminat dalam sektor perikanan.
“Masa di laut terlalu lama dan kerjaya ini juga berbahaya selain pendapatan tidak menentu menyebabkan orang muda tidak minat. Kebanyakan nelayan buat pinjaman daripada kami untuk tampung kehidupan. Kalau kami tidak beri, macam mana mereka mahu menyara keluarga,” katanya.
Sementara itu, katanya, pihaknya turut meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk mempermudahkan urusan berkaitan kebenaran menggunakan kru nelayan asing profesional yang masih belum selesai.
“Kami terkesan dengan wabak Covid-19 dari aspek ekonomi dan pendapatan. Pinjaman bank pun sukar, hanya mengharapkan bantuan kerajaan.
"Mohon kerajaan pertimbangkan kerana kami juga antara penyumbang utama sektor makanan selain menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti nelayan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!