Krisis Covid-19: ASEAN+3 perlu kekalkan pasaran terbuka

Muhyiddin (tengah), dilihat sibuk meneliti dokumen berkaitan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari keenam yang diadakan secara maya hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin (tengah), dilihat sibuk meneliti dokumen berkaitan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari keenam yang diadakan secara maya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia meminta ASEAN Campur Tiga - China, Jepun dan Korea Selatan (ASEAN+3) kekal komited memastikan pasaran terbuka dan mengekalkan aliran dagangan, perkhidmatan dan pelaburan terus normal ketika krisis koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN+3 (APT) berkata, pasaran perlu kekal terbuka bagi mengukuhkan ketahanan ekonomi serantau tanpa sekatan yang tidak diperlukan terhadap perdagangan atau mencetuskan gangguan rantaian bekalan global.

"Ketika kita mesti terus mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang mempunyai manfaat bersama, fokus kita sekarang seharusnya tertumpu kepada tugas mendesak iaitu memerangi Covid-19.

“Malaysia juga berharap dengan pemeteraian dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menghantar isyarat kukuh mengenai kepentingan mengukuhkan intergrasi dan menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi serantau," katanya di sini semalam.

APT ke-23 diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan dipengerusikan Vietnam, dianjurkan secara dalam talian ekoran penularan wabak Covid-19.

Ia turut disertai secara maya oleh Perdana Menteri China, Li Keqiang; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In.

Muhyiddin turut menegaskan kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam menggunakan program Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 (APTERR) bagi memastikan jaminan keselamatan makanan.

Kerjasama dalam APTERR ini kata Perdana Menteri, akan membantu memastikan bekalan makanan berterusan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi ketika ini yang berpunca daripada Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ketika kita bersama-sama berdepan dengan cabaran dan waktu sukar ini, amat penting ASEAN dan tiga negara ini terus mengukuhkan kerjasama serta saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Kerjasama APT dibentuk ekoran krisis ekonomi Asia pada 1997. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!