Apabila pakar ekonomi bersuara
BARU baru ini saya ada menonton sebuah filem Hindustan yang ditayangkan di RTM bertajuk Baar Baar Dekho. Inti pati cerita itu berkisahkan tentang keluarga dan keseimbangan hidup. Kisah seorang pensyarah pakar matematik di sebuah universiti yang suka mengaitkan kehidupannya dengan matematik untuk meramal masa depan.
Beliau mempunyai cita-cita besar ingin menjadi pensyarah di Cambridge tetapi bakal isterinya tidak mahu berpindah ke Cambridge dan mahu menjalani kehidupan di India sahaja. Bak kata pepatah Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, maka lebih baik negeri sendiri.
Berbalik kepada dunia nyata, masih tidak reda dengan perbahasan mengenai Belanjawan 2021 dan antara isu hangat seperti yang kita semua maklum adalah moratorium, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
Rata-rata rakyat jelata dan ahli Sidang Dewan Rakyat mendesak kerajaan untuk menyambung moratorium dan pengeluaran secara one off KWSP disebabkan koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, ada yang membantah. Saya ada membaca bantahan atau pendapat pakar-pakar ekonomi tentang pengeluaran KWSP. Tidaklah mahu saya menyebut siapa, cuma apabila membaca ulasan pakar-pakar ekonomi itu, maka saya teringatlah cerita Baar Baar Dekho.
Pakar-pakar ekonomi itu juga meramal masa hadapan. Mereka menyatakan bahawa rakyat akan menderita pada masa hadapan disebabkan tidak cukup wang untuk digunakan masa bersara. Saya berfikir, itu pun kalau umur panjang. Kalau umur pendek?
Seorang pakar ekonomi memberi pendapat sambil memetik data-data.
"Saya rasa idea itu tidak baik. 89.2 peratus pencarum sedar ketidakcukupan mereka ketika bersara nanti tetapi kalau rakyat akan jadi murung dan menderita, mungkin boleh dipertimbangkan untuk pengeluaran," kata pakar ekonomi itu lagi yang pada fikiran saya mungkin sedang murung ketika ini.
Seorang lagi pakar ekonomi yang mungkin bercelaru fikirannya berkata: “Kebimbangan Perdana Menteri kita sebenarnya berasas tetapi jika hendak gunakan idea Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pengeluaran dihadkan, boleh dipertimbangkan.”
Entah yang mana satu agaknya saranan pakar ekonomi berkenaan. Sekejap begitu dan sekejap begini.
Rata-rata mereka merupakan pensyarah di institut pengajian tinggi. Mereka duduk di kerusi empuk sambil membuat kajian mengutip data sama ada di lapangan atau kajian perpustakaan.
Daripada data-data yang mereka dapat, akan dibuat analisis untuk mendapat kesimpulan. Data-data tersebut memang penting untuk mendapat jawapan apa yang sebenarnya akan terjadi, mungkin pada masa hadapan.
Saya pun ada mengambil data mengkaji tentang pengecutan dan pengembangan jambatan untuk memastikan jambatan dalam keadaan baik. Daripada data tersebut, kita membuat kesimpulan sama ada perlu untuk dibuat kajian lanjut atau tidak tetapi jambatan batu konkritlah.
Berbalik kepada cerita Hindustan tadi, ada satu babak ketika pensyarah matematik itu menaiki bas, lalu bertemu dengan seorang pendeta. Pendeta itu berkata: “Cuba tengok benang ini. Hujung sebelah kanan ibarat masa lampau dan hujung kiri sebagai masa hadapan. Untuk masa lampau telah lepas. Masa hadapan pula kita tidak tahu lagi apa akan berlaku tetapi yang paling penting di tengah benang iaitu masa sekarang.”
Saya cuba-cuba memegang benang seperti pendeta berkenaan. Saya pegang setiap hujung benangu, kemudian lepaskan hujung kanan, bermakna masa lampau sudah lepas. Kemudian hujung benang kiri mewakili masa hadapan, saya lepaskan juga. Maka, jatuhlah benang tersebut.
Jika diikutkan pendapat pakar-pakar ekonomi itu, mereka lebih cenderung kepada kais pagi makan tahun hadapan, kais petang makan lima tahun lagi agaknya tetapi yang paling penting, kais sekarang, makan sekaranglah iaitu di tengah-tengah benang tersebut.
Kata pendeta itu lagi: “Kita tersilap fokus. Hanya fokus kepada benda-benda besar tetapi sebenarnya fokus kepada benda kecil inilah memberi impak yang besar.”
Bak kata pepatah Melayu, gajah lalu dibeli, kusa tidak terbeli. Kalau ini terjadi, hubaya-hubaya, kecil-kecil pun api juga.
* Penulis seorang jurutera kanan sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!