Biden dan hala tuju pentadbirannya

A
A
A

KINI semua telah mengetahui keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Akhirnya calon Demokrat, Joe Biden seperti dijangka menewaskan lawannya, Donald Trump. Ia sekali gus menjadikan Trump sebagai Presiden keempat selepas Gerald Ford, Jimmy Carter dan George Bush yang tewas ketika menyandang jawatan sebagai Presiden AS.

Setakat ini keputusan semasa menunjukkan Biden telah melepasi angka keramat 270 dengan catatan Biden (290) dan Trump (217). Untuk rekod, masih ada 31 undi elektoral lagi yang belum diketahui keputusannya. Apa pun, keputusan Pilihan Raya Presiden AS kali ini amat sengit, walaupun tidaklah sesengit Pilihan Raya Presiden 2000. Pada pilihan raya itu, George Bush menewaskan Al Gore dengan keputusan 271-266.

Ketika kali terakhir seorang Presiden kalah, beliau tewas dengan keputusan yang sangat buruk. Pada Pilihan Raya Presiden 1992, Clinton menewaskan Bush dengan kiraan 370 undi berbanding 168 undi. Malah, Clinton juga turut mencatat undi popular yang lebih tinggi (43 peratus) daripada Bush (37 peratus). Jadi, secara perbandingan, Trump masih boleh angkat muka dengan kekalahannya berbanding Bush.

Dengan kemenangan Biden, dunia akan menyaksikan beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang ke-46. Untuk rekod, tertulis dalam Perlembagaan AS bahawa penggal jawatan baharu seseorang Presiden yang terpilih hanya akan bermula pada tengah hari 20 Januari. Jadi, masih ada dua bulan lagi untuk melihat beliau dan gandingannya, Kamala Harris mencipta satu lagi sejarah dalam lembaran politik AS.

Biden bakal mengatasi Trump sebagai Presiden tertua AS. Biden akan berumur 77 tahun pada pelantikannya tahun hadapan, berbanding Trump (70) ketika dilantik menjadi Presiden AS pada tahun 2017. Biden juga mengulangi tradisi bekas Naib Presiden dilantik menjadi Presiden, kali terakhir berlaku kepada Bush (beliau merupakan Naib Presiden ketika pentadbiran Ronald Reagen). Malah, AS juga bakal mempunyai Naib Presiden Wanita yang pertama dalam sejarahnya, sekali gus meruntuhkan lagi tembok stigma terhadap wanita dan kepimpinan politik di AS.

Di sebalik semua itu, perkara yang akan menjadi perhatian semua sudah tentulah Biden sebagai Presiden itu sendiri. Pengalaman dua penggal menjadi Naib Presiden sewaktu pentadbiran Obama dan Senator mewakili Delaware selama enam penggal sejak tahun 1972 dilihat menjadi kelebihan pentadbirannya berbanding Trump. Sebagai orang yang berpengalaman, Biden dijangka sudah memahami dan biasa dengan hal-hal pentadbiran, cuma barangkali persoalannya, sepantas mana beliau dapat melakukannya.

Perkara terawal yang dijangka menjadi agenda pentadbirannya adalah membetulkan kembali dasar-dasar luar AS yang bercelaru ketika Trump dan pandemik koronavirus (Covid-19). Tindakan eratik Trump menerusi dasar luar AS dan kegagalannya menangani Covid-19 adalah antara modal Biden dalam menewaskannya. Maka, sudah tentu hal itu akan menjadi cabaran awal kepada kepimpinannya. Dengan Senat AS yang masih lagi dikuasai Republikan, kejayaan dan kegagalan Biden mungkin banyak bergantung kepada sejauh mana beliau dapat mengawalnya dengan baik dan berkesan.

Seperti pemerhati politik yang lain, tumpuan terhadap kepimpinan Biden mungkin mahu dilihat kepada sejauh mana beliau mampu untuk memperbaharui demokrasi dan hubungan dengan sekutu rapatnya, melindungi kepentingan ekonomi and politik pada peringkat antarabangsa dan yang lebih serius, mengembalikan AS sebagai adikuasa yang memimpin dunia.

Artikel Berkaitan:

Dengan janjinya untuk memperbaiki dan menghidupkan kembali kerjasama erat bersama sekutu rapatnya, Biden juga meletakkan rejuvenasi kolektif demokrasi AS sebagai tonggak utama dalam membentuk kekuatan dan keupayaan pengaruh global AS.

Bacaan awal memperlihatkan Biden mungkin akan mengikut jejak Obama dalam hal tersebut. Biden dijangka menggunakan pendekatan institusi dan patuh peraturan berbanding Trump yang radikal dan di luar peraturan.

Walaupun Trump lebih berterus-terang dalam dasar luarnya, Biden juga mungkin cenderung berbuat begitu, setidak-tidaknya kepada China. Ia jelas dalam janjinya yang mahukan pendekatan lebih tegas dan sering menyifatkan China sebagai ‘sebuah cabaran khas’ buat AS.

Umum mengetahui menguasai dunia adalah matlamat utama AS sebagai adikuasa dunia yang tidak pernah berubah selepas Perang Dunia Kedua. Justeru, bagaimana pula cara AS cuba menguasai dunia di tangan Biden kelak? Dan, apakah pula impaknya kepada kita? Hanya masa yang menentukan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!