Islam menjamin hak bukan Islam
ISLAM adalah cara hidup yang syumul. Lantaran itu, umat Islam tidak boleh lari walau sesaat pun daripada aturan yang telah disediakan oleh Islam. ALLAH SWT telah memberikan pedoman yang lengkap berkaitan kehidupan seharian umat Islam seperti digariskan dalam al-Quran dan as-sunnah.
Masyarakat Islam adalah sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada akidah dan ideologi. Lalu muncullah cabangnya seperti undang-undang, hukum-hakam, peradaban dan tatasusila.
Namun, itu bukanlah bermakna orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada pada peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa. Undang-undang Islam sebenarnya mementingkan hubungan sesama manusia melangkaui batasan agama. Umat Islam menjalinkan hubungan sesama mereka dan begitu juga dengan orang yang tidak menganuti Islam.
Dasar-dasar yang tetap telah digariskan merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam. Prinsip utama melayani orang bukan Islam adalah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam, melainkan atas beberapa aspek sahaja.
Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara. Orang bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup. Hak itu adalah hak sama yang dikecapi orang Islam.
Pemerintah Islam bertanggungjawab melindungi walaupun setitik darah mereka. Orang Islam dalam negara Islam juga dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau menceroboh diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah mereka.
Umat Islam ditegah membunuh mereka. Ia disebabkan hak perlindungan yang tetap itu meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka.
Islam menjamin orang bukan Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan semata-mata agar mereka memeluk Islam.
Jawatan
Sejarah telah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.
Orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan dalam kerajaan Islam, selain jawatan yang melibatkan hal keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera, Ketua Hakim dan sebagainya yang mana jawatan itu akan melibatkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan tersebut.
Bagi jawatan Ketua Negara umpamanya, ia melibatkan pentadbiran sebuah negara Islam yang merupakan negara ideologi. Maka, adalah wajar bagi orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga jawatan Ketua Angkatan Tentera. Mempertahankan kedaulatan negara adalah satu ibadat. Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat dalam Islam.
Namun, orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama orang Islam berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar dalam sebuah negara Islam.
Dalam hal muamalah pula, orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ia boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka atau dengan orang Islam atau bekerja secara sendirian. Keadaan mereka dari aspek itu langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing.
Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri mereka sendiri. Orang bukan Islam tidak ditindas dalam mencari kekayaan dan ia memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak.
Syariat Islam telah memperuntukkan hak-hak asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan itu dijamin pemerintah Islam.
Menjadi kesalahan bagi umat Islam jika mereka melanggar atau mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Dari aspek itu sebenarnya syariat Islam dilihat lebih melindungi hak orang bukan Islam berbanding mana-mana agama lain di dunia.
Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun orang yang dizalimi atau dicerobohi itu adalah orang bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan tersebut, hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam pun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan oleh mereka.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!