Pelumba Petronas SRT raih keputusan berbeza
PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) -- Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo menamatkan hari pertama Grand Prix (GP) Valencia masing-masing pada kedudukan ke lapan dan ke-16 di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol semalam.
Morbidelli mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi latihan pertama dengan masa 1 minit 30.944 saat (s) namun gagal memperbaiki catatan masanya pada sesi latihan kedua, yang menyaksikan beliau berkedudukan kelapan keseluruhan dengan masa 1:31.125s.
Sementara Quartararo yang mencatatkan 1:31.617s pada sesi latihan pertama, namun berjaya memperbaiki catatan itu kepada 1:31.326s, menempatkan beliau ke-16 terbaik keseluruhan.
Mereka akan meneruskan sesi latihan ketiga diikuti dengan sesi kelayakan, lewat hari ini.
“Ia hari yang positif untuk kami, saya agak pantas pagi ini dan pada petang. Kami menguji beberapa penalaan motor berbeza dan kami agak selesa dan laju dengan kedua-duanya,” kata Morbidelli dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan itu hari ini.
Sementara itu Quartararo mendedahkan yang beliau mencuba pelbagai penalaan pada motosikalnya, namun gagal untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik.
“Ia satu hari yang sukar, tapi kami tidak berputus asa. Kami akan tahu lebih lagi mengenai keadaannya selepas sesi latihan ketiga, sebaik kami telah mencuba beberapa perkara dan selepas itu kami akan cuba untuk mencatatkan masa lebih baik,” kata pelumba Perancis berusia 21 tahun itu.
Dengan dua pusingan perlumbaan lagi, pelumba Team Suzuki Ecstar Joan Mir dari Sepanyol masih mendahului keseluruhan kedudukan Kejuaraan MotoGP Dunia dengan 162 mata, diikuti Quartararo dan rakan sepasukan Mir Alex Rins yang terikat dengan 125 mata.
Morbidelli menduduki tempat kelima dengan 117 mata selepas 12 perlumbaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!