Pesakit kanser cedera jatuh bangunan hospital
KOTA KINABALU - Seorang pesakit kanser cedera selepas terjatuh dari tingkat enam ke bumbung tingkat tiga bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia 64 tahun terbabit mengalami kecederaan di pinggang dan tangan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.22 malam.
"Operasi menyelamat dilakukan oleh 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan beberapa jentera.
"Sebaik tiba, pasukan bomba membuat 'size up' dan penyelamatan dengan menggunakan tangga bangunan hospital bagi menyelamatkan mangsa yang terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.
PGO turut berkata, lelaki itu kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa turun ke lokasi selamat.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan pinggang, seterusnya diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!