Fenomena air pasang besar landa lima daerah
SHAH ALAM - Fenomena air pasang besar yang melanda lima daerah di negeri ini bermula awal pagi tadi berada dalam keadaan terkawal dan hanya menyebabkan limpahan kecil serta mulai surut beransur-ansur.
Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, limpahan itu tidak menyebabkan banjir besar dan tiada penempatan penduduk terjejas.
Menurutnya, lima daerah yang dilanda fenomena itu dengan ketinggian paras air laut 5.6 meter dicatatkan pada jam 5.44 pagi tadi di negeri ini ialah di Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.
"Kejadian di Kuala Selangor misalnya, hanya sedikit limpahan kecil dikesan melepasi ban iaitu di kawasan Bagan Pasir Tanjong Karang, Jeti Nelayan Sungai Kajang, Jalan Sungai Dungun, Bagan Sungai Kajang dan Jalan Sungai Dungun.
"Kawasan lain yang turut berlaku limpahan kecil ialah di Kampung Tok Adam, Ikan Bakar Pantai Jeram, Bagan Pasir Penambang dan Bagan Sungai Janggut," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Selain itu, Muhammad Izzat berkata, Jalan Persekutuan berhampiran sebuah pasar raya dan Lorong Yunus Sungai Sembilang yang dinaiki sedikit limpahan air pasang mulai beransur ansur surut.
Beliau memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat kajian dan melaksanakan penambahbaikan serta kerja-kerja naik taraf jalan bagi memastikan kelancaran aliran air di jalan raya.
Katanya, empat lagi kawasan pesisir pantai di Selangor iaitu di Kuala Langat, Klang, Sepang dan Sabak Bernam hanya berlaku sedikit limpahan kecil akibat fenomena itu yang dijangka berakhir lusa.
"Buat masa ini keadaan selamat dan terkawal, selain tiada kawasan penempatan yang terjejas.
"Kita dapati kawasan dilimpahi air pasang mulai beransur-ansur surut manakala ban di pesisir pantai juga kukuh dan berada dalam keadaan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!