AADK Terengganu guna TikTok sebar maklumat

Anggota AADK yang melakukan rondaan bermotosikal mendekati sekumpulan remaja yang sedang melepak di sebuah kampung di Rantau Abang Dungun. Foto Ihsan AADK Terengganu. Gambar kecil: Rusmizal Ibrahim
Anggota AADK yang melakukan rondaan bermotosikal mendekati sekumpulan remaja yang sedang melepak di sebuah kampung di Rantau Abang Dungun. Foto Ihsan AADK Terengganu. Gambar kecil: Rusmizal Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu akan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium untuk menyampaikan sebarang maklumat dan mesej berkaitan penyalahgunaan serta pencegahan dadah.

Penolong Pengarah Pencegahan AADK Terengganu, Rusmizal Ibrahim berkata, idea untuk menyampaikan mesej dan sebarang maklumat berkaitan di TikTok itu tercetus selepas menyedari aplikasi tersebut kini mendapat perhatian terutama golongan muda hari ini.

"Kami yakin inisiatif ini sangat berkesan untuk menyebarkan maklumat yang berguna kepada golongan muda hari ini kerana mereka merupakan golongan paling ramai menggunakan TikTok.

"Bagi menarik perhatian mereka lagi, kami juga bercadang mengadakan pertandingan penyampaian mesej dan maklumat paling kreatif menggunakan aplikasi TikTok. Video terpilih akan dimuat naik dalam laman web rasmi kami untuk tontonan awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Rusmizal berkata, pihaknya juga mengadakan Program Omnipresence seperti program rondaan bermotor secara bersepadu dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang akan dilakukan dengan lebih kerap bagi menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di dalam komuniti.

"Selain itu, diharap dengan program ini dapat menangani aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti lepak kerana kebiasaannya remaja yang nampak kehadiran penguat kuasa akan cuba melarikan diri bagi mengelak disoal.

"Melalui program ini juga ada komuniti yang sukarela datang meminta khidmat nasihat daripada anggota penguat kuasa ketika berhenti di sesuatu lokasi dan ini menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi mengenai bahaya dadah dalam kalangan komuniti hari ini," katanya.

Beliau berkata, dengan mengadakan rondaan bermotosikal yang kerap di lokasi tumpuan itu, pihaknya juga dapat menangani masalah remaja yang berisiko menunggang motosikal tanpa lesen dan secara merbahaya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program ini juga merupakan salah satu program di bawah 'Program kolaborasi Inisiatif Bersepadu Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelancongan Sosial' yang diadakan di salah satu kawasan tumpuan di Mukim Abang, Dungun termasuk di Kawasan Rantau Abang, Kuala Abang, Kampung Baru, Rhu Batil, Alor Mak Bah, Pulau Serai dan kawasan sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!