PKPD Medan 88: 27 penduduk sudah serah diri
SEPANG - Seramai 27 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah tampil menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, 13 orang telah menyerah diri pada hari Khamis lalu manakala 11 lagi menyerah diri pada hari Jumaat.
"Semalam, tiga orang lagi yang juga merupakan rakyat tempatan berasal dari Sabah, pulang untuk menjalani saringan koronavirus (Covid-19)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini enam warga Indonesia, tiga warga Thailand, masing-masing seorang dari Myanmar, India dan Nepal manakala selebihnya rakyat tempatan sudah pulang ke Medan 88.
Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata, sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudah pun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif Covid-19.
Khamis lalu, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuatkuasa semalam sehingga 25 November ini. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:20 penduduk Medan 88 lari PKPD serah diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!