Banjir: 2,500 peruncit, pemborong simpan stok bekalan
KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melantik kira-kira 2,500 peruncit dan pemborong terpilih di seluruh negara untuk menyimpan barang keperluan asas sepanjang tempoh bencana banjir.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan makanan mencukupi pada musim tengkujuh.
Menurutnya, peruncit dan pemborong yang terpilih ini akan menyediakan stok barang melebihi 30 peratus daripada stok biasa sebagai persediaan untuk musim tengkujuh atau banjir.
"Mereka biasanya simpan stok barang. Katakan mereka simpan 80 peratus, jadi kita tambah lagi 30 peratus untuk setiap masa bagi memastikan stok barang mencukupi.
"Kita memberi jaminan, barangan keperluan mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang bencana alam itu melanda," katanya selepas Program Lawatan Kerja dan Tinjauan Pematuhan SHMMP Deepavali 2020 di Pasaraya Mydin Gong Badak di sini hari ini.
Beliau berkata, KPDNHEP bekerjasama dengan kementerian yang lain bagi memastikan bekalan ikan, sayur dan sebagainya mencukupi.
"Justeru, orang ramai tidak perlu risau dengan keperluan barangan tersebut dan pihak kementerian juga akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang musim tengkujuh," katanya.
Sementara itu, Rosol yang turut melakukan lawatan ke pusat penternakan ayam Kemat Ternak Maju di Ajil, Hulu Terengganu hari ini berkata, bekalan ayam di Terengganu juga mencukupi.
"Kapasiti di pusat penternakan ini misalnya mampu menempatkan 21,000 ekor ayam. Ini belum termasuk bekalan daripada penternak lain.
"Begitu juga dengan bekalan telur dan makanan asasi lain, ia bersedia untuk diedarkan apabila diperlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!