Mukhriz dakwa ada cubaan halang pendaftaran Pejuang
ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang cuba menghalang pendaftaran pertubuhan itu secara sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ( RoS ).
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya tertanya-tanya mengapa permohonan pendaftaran parti itu masih tidak diterima sedangkan mereka telah melengkapkan segala dokumentasi diperlukan.
Mukhriz berkata, pihaknya melihat seolah-olah ada cubaan oleh pihak tertentu untuk tidak membenarkan permohonan pendaftaran Pejuang sebagai sebuah pertubuhan yang sah.
"Daripada pandangan saya, memang ada, jika tidak ia sepatutnya telah boleh diluluskan. Jika ikut petunjuk prestasi utama (KPI) ROS, mereka ada garis masanya.
"Jadi, apa guna ada KPI seperti itu, jikalau dia tidak maklum kepada kita apa lagi yang diperlukan. Itu pun kalau adalah, kalau tiada mengapa tidak diluluskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Bajet 2021 Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, negara mengamalkan demokrasi yang mana menang dan kalah merupakan perkara biasa, justeru bagaimana sistem demokrasi ingin ditunjukkan jikalau sejak dari awal lagi pendaftaran Pejuang ditahan.
Katanya, pihaknya sangat berharap ROS dapat meluluskan pendaftaran Pejuang dan mereka tidak perlu takut dengan bilangan ahli-ahlinya yang sedikit sekitar empat orang ahli Parlimen sahaja.
"Jadi, kita harap tiada mana-mana pihak yang sengaja menahan urusan pendaftaran Pejuang. Walaupun begitu, kita akan lihat plan B, plan C. Namun ia belum masanya untuk kita umumkan.
"Apapun, Pejuang diharapkan dapat aktif dalam politik secara sah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Di pihak kami, kita yakin telah melengkapkan segala borang dan mengharapkan ketelusan ROS," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan masih tidak menerima sebarang surat rasmi daripada ROS dan apa jua kekurangan yang dimaklumkan hanya melalui interaksi secara bersemuka sebelum ini.
"Sekiranya mereka memaklumkan dalam surat rasmi dahulu, maka kami boleh beri maklum balas dengan cepat. Selepas perjumpaan itu, kita telah pun senaraikan dan kemukakan semua yang diperlukan, jadi kami harap tiada perkara yang diperlukan lagi. Kalau semuanya cukup lengkap, maka kami berharap Pejuang dapat didaftarkan dengan segera,"katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pejuang masih tunggu kelulusan RoS: Dr Mahathir
Dakwaan Pejuang tidak berasas: RoS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!