'Itu kawasan larangan kepada orang awam'
JOHOR BAHRU - Jabatan Perhutanan Johor mengesahkan lokasi insiden membabitkan seorang gadis maut selepas tergelincir di Bukit Banang semalam adalah kawasan larangan kepada orang awam.
Pengarahnya, Datuk Salim Aman berkata, lokasi kejadian berhampiran menara telekomunikasi dan bukan di bawah pengurusan atau seliaan pihaknya.
"Dipercayai mangsa dan pendaki lain masuk ke kawasan pendakian melalui tanah berimilik untuk sampai ke lokasi kemalangan di Hutan Simpan Banang yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor (Akta 313).
"Penceroboh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Sinar Harian melaporkan mangsa, Aina Nabilah Yusof, 20, meninggal dunia akibat cedera parah pada badan dan kepala selepas terjatuh di Bukit Banang, Batu Pahat dalam kejadian pada jam 11.30 pagi.
Mangsa tergelincir di laluan curam bukit sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter ketika mendaki bersama seorang rakannya yang terselamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Gadis maut tergelincir daki Bukit Banang
Sementara itu menurutnya, semua taman eko-rimba (TER) dan hutan taman negeri termasuk hutan simpanan kekal di negeri ini ditutup bermula hari ini.
"Penutupan bagi mengurangkan aktiviti pendakian dalam kawasan hutan pada musim tengkujuh selain mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.
"Orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan jika memasuki hutan simpanan kekal. Kemasukan tanpa permit memasuki hutan simpanan kekal adalah kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 313," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!