Kerajaan perpaduan masa depan Malaysia: Dr Mahathir

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan perpaduan adalah masa depan Malaysia kerana rakyat semakin muak dengan permainan politik ketika penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, rakyat sudah bosan dengan politik kepartian yang memecahbelahkan negara serta memburukkan lagi masalah yang dibawakan oleh pandemik Covid-19 itu.

“Ini satu pendekatan yang baik. Ada masanya rakyat juga sudah bosan dengan politik parti. Ada kebaikan jika kita ada kerajaan nasional yang tidak mengutamakan politik parti.

“Saya masih berpendapat pada waktu ini, kalau kita mahu kurangkan politik, kita ketepikan parti, kita utamakan negara,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal, The Malaysian Insight hari ini.

Beliau turut membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memfokuskan politik dan mengutamakan kedudukannya dengan memberi contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah yang berpunca daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menyokong Musa Aman dalam usaha membentuk kerajaan negeri baharu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tiada keperluan untuk PN cuba merampas kuasa di Sabah kerana ia tidak mendatangkan impak positif ke atas ekonomi sebaliknya membawa kesan buruk.

“Kalau dahulu kita sudah kurangkan jumlah pesakit baharu sehingga tinggal satu saja di seluruh negara, tetapi sekarang ini sudah naik sampai 1,200 kes sehari... sebabnya kerana kita pergi di Sabah dan melanggar (prosedur operasi standard) SOP," katanya.

Cadangan untuk kerajaan perpaduan pernah dibangkitkan Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri sementara pada Februari lalu, ketika kemelut politik tercetus susulan kejatuhan kerajaan PH.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!