Bantuan Covid-19 di Kedah cecah RM21.75 juta
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyalurkan peruntukan bantuan sebanyak RM21.75 juta kepada individu yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sumbangan yang disalurkan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan individu itu membabitkan keperluan asas, bantuan peralatan hospital dan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan serta wang tunai.
"Kita merasai kesukaran dilalui rakyat sepanjang wabak ini, ada terputus sumber makanan, kehilangan pendapatan, kemurungan dan tekanan.
"Kerajaan juga bersikap terbuka dengan beberapa pihak yang turut berkongsi cadangan bagi mengurus Covid-19,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurutnya, sejak menerajui pentadbiran negeri 18 Mei lalu, pihaknya menggembleng tenaga dan idea bagi merancang dan melaksanakan agenda pembaharuan di Kedah.
“Covid-19 memberi kesan mendalam terhadap semua pihak termasuk Kedah. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Napoh, Binjai, Tawar, Kampung Hulu Padang Sanai, Amanjaya, Kota Setar, Padang Che Mas dan Flat Seberang Perak menunjukkan seriusnya kita menangani wabak ini.
"Kerjasama kerajaan negeri dan kepatuhan rakyat pada prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat dihargai sehingga orang Kedah diberi pengiktirafan Menteri Kesihatan kerana warganya patuh SOP,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf Muzium Padi, meningkatkan kemudahan pelancongan serta pembangunan eko pelancongan di Baling meliputi kemudahan di jajaran Gunung Baling dan rangkaian gua seperti Gua Sireh, Gua Kelambu dan Gua Jepun.
“Kedah memiliki pelbagai tarikan alam semula jadi, sejarah, warisan, budaya dan makanan yang boleh ditonjolkan sebagai produk pelancongan malah RM4.55 juta disediakan kepada Jabatan Perhutanan untuk pembangunan Hutan Lipur, menyenggara dan membaik pulih taman eko-rimba seperti Sungai Sedim, Lata Bukit Hijau, Lata Mengkuang, Titi Hayun dan Bukit Wang,” katanya.
Katanya, bagi membantu pengusaha taman tema di Langkawi, pihaknya menghapuskira tunggakan cukai hiburan yang perlu dibayar agar pengusaha dapat menaik taraf kemudahan taman tema mereka.
“Kita turut menggalakkan aktiviti sukan berbasikal dengan menaik taraf jalan negeri bagi menyokong laluan pelancong daripada Sungai Petani ke Tanjung Dawai, Pantai Merdeka dan kaki Gunung Jerai yang menjadi pilihan penunggang basikal setiap hujung minggu.
"Secara tidak langsung aktiviti perniagaan setempat dimajukan dengan kedatangan pelancong berbasikal termasuk dari luar Kedah. Beberapa laluan baru akan dimajukan seperti Pekan Jeniang ke Tasik Beris, Kulim ke Mahang dan Selama,” katanya.
Menurutnya, bagi meningkatkan pendapatan rakyat khususnya pesawah dan petani luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), RM5.65 juta disediakan untuk pembangunan Industri Padi seperti di Merbok, Padang Balai di Padang Terap, Sidam Kanan di Kulim dan Kampung Lintang di Sik. Ini termasuk pembangunan dusun buah-buahan di Bandar Baharu dan Sik serta projek sayuran dan tanaman ladang di Baling dan Pokok Sena.
“Bagi menggalakkan belia melibatkan diri dalam pertanian secara komersial, kerajaan beri suntikan modal, bantuan peralatan dan khidmat nasihat,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Mukim Gajah Mati, Pokok Sena dan di Bukit Perak, Pendang akan dinaik taraf sebagai kawasan pengeluaran berdaya saing.
“Pada masa ini, terdapat 17 usahawan mengusahakan sektor penanaman nanas, cili fertigasi, sayur-sayuran, jagung dan nangka madu.
"Untuk memastikan bekalan daging mencukupi, RM6 juta diperuntukkan untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar antaranya projek pemulihan padang ragut di Bukit Selambau, Binjol Dalam, Sungai Setar, Kampung Budi dan Kampung Besah bagi kemudahan penternak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!