Kerjasama Umno-Pas beri keuntungan kepada Islam

Muhammad Yusoff
Muhammad Yusoff
A
A
A
SUNGAI DUA - Kerjasama antara Umno dan Pas sejak akhir-akhir ini sebenarnya membawa kesan serta impak positif bukan sahaja meliputi survival politik malahan kepada masyarakat Melayu keseluruhannya.

Sekali gus penyatuan kerjasama ini dapat menyatupadukan masyarakat Melayu dan sekali gus mengeratkan ukhuwah tanpa mengira kedua-dua parti.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata, dengan kerjasama ini ia menyatupadukan orang Melayu dan masa sama mengelak dari timbulnya perpecahan.

"Jika dahulu kita lihat ada perpecahan kepartian di antara orang Melayu, jadi apabila ada penyatuan kerjasama masyarakat kembali bersatu dan berpadu antara Melayu.

"Dan secara asasnya ia membawa kepada kesan positif apabila ia membawa kepada kekuatan penyatuan orang Melayu dalam mempertahankan hak Melayu dan Islam secara amnya," katanya.

Beliau berkata kepada Sinar Harian dalam sidang media di pejabat Umno Bahagian Tasek Gelugor disini semalam.

Katanya, jika dahulu Umno dan Pas masing-masing menfokuskan kepada perjuangan tersendiri, dan kini arah dan tujuan dapat diselarikan dan disepadukan.

"Bila wujudnya kerjasama kita lihat ke arah memmpertahankan agama Islam dan Melayu diberi lebih kekuatan kelebihan selain lebih fokus kepada satu matlamat dalam mempertabatkan agama dan bangsa.

"Malahan ia juga diusahakan secara bersungguh dan serius kalau tidak ia tak fokus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerjasama antara kedua parti dari sudut politik sebenarnya memberikan kelebihan kepada ekonomi orang Melayu dan Islam secara keseluruhannya.

"Sekali gus dengan kerjasama ia akan mengukuhkan rangkaian ekonomi kalangan orang Melayu Islam.

"Sebab apa kita lihat sekarang ini, penguasaan orang Melayu dan Islam dalam soal ekonomi belum mencapai tahap yang sepatutnya," katanya.

Jelasnya, politik merupakan aspek penting yang mana menjamin kestabilan ekonomi itu sendiri.

"Sekiranya berpecah belah, matlamat tidak dapat diselarikan, malahan ia akan turut menjejaskan aspek lain, terutamanya ekonomi, ini yang kita tidak mahu.

"Bukan itu sahaja, ikatan ukhuwah sememangnya satu perkara yang dituntut dalam Islam, dan kita sememangnya digalakkan untuk menjaga hubungan silaturahim," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!