Hubungan ASEAN lebih kukuh
KUALA LUMPUR - Hubungan Malaysia dengan rakan-rakan ASEAN lebih kukuh meskipun Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang telah berakhir hari ini hanya dapat dilangsungkan secara maya, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, di sebalik kekangan bersidang secara bersemuka, penganjuran kali kedua secara persidangan video itu disifatkan sebagai amat berjaya.
Ini kerana katanya, ia tetap dapat menghimpunkan kesemua 10 Menteri Luar ASEAN, lapan wakil negara-negara rakan dialog ASEAN dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Saya perhatikan dalam masa beberapa hari perjalanan sidang kemuncak kali ini, daripada bahasa tubuh (body language) mereka yang mendengar intervensi Tan Sri Muhyiddin Yassin, nampaknya bukan sahaja hormat kepada pendirian kita tetapi hubungan cukup baik.
"Walaupun lebih baik jika kita dapat bersemuka, namun dalam keadaan maya pun kita yakin hubungan yang telah kita bina di ASEAN selama ini dapat diteruskan dalam apa jua cara dan lebih penting apabila hubungan negara-negara ASEAN dengan negara-negara dialog kita nampaknya tidak terjejas.
"Malah, ia lebih kukuh kerana landskap koronavirus (Covid-19) sekarang ini menuntut kita merapatkan barisan, bekerjasama berhadapan dengan cabaran yang sama dihadapi oleh dunia pada hari ini," katanya pada sidang akhbar sempena penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, persidangan tersebut turut menyaksikan penambahan tiga negara baharu yang menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara iaitu Cuba, Afrika Selatan dan Colombia.
Katanya, Malaysia berpendirian, perjanjian yang telah disertai 43 negara ini menyerlahkan ASEAN masih mendapat banyak permintaan daripada negara-negara luar untuk menjalin hubungan sebagai sebuah blok.
"Ini membuktikan ASEAN kekal relevan dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain dan juga petanda baik bahawa negara-negara berkenaan berminat berinteraksi dan menjalinkan hubungan dengan ASEAN," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pada persidangan kali ini juga, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani menegaskan pendirian secara terbuka mengenai isu kebencian dan perpecahan yang semakin mengancam dunia.
"Malaysia lantang menyatakan bahawa semua pihak mesti mengelak sebarang tindakan keganasan apatah lagi atas nama agama sehingga boleh menimbulkan kesalahfahaman agama seperti Islamophobia," katanya.
Sidang kemuncak yang berlangsung dari 12 November itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020.
Sementara delegasi Malaysia diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut mengambil bahagian, Hishammuddin serta Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!