ACRF pencapaian paling bermakna buat Malaysia
KUALA LUMPUR - Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang diluluskan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 menyaksikan pencapaian paling bermakna Malaysia dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi global ketika dunia berdepan cabaran pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, persetujuan sebulat suara itu menunjukkan penghormatan negara ASEAN terhadap Malaysia.
Menurutnya, ia juga menyerlahkan keupayaan serta kepimpinan Malaysia dalam usaha memperkasa ASEAN mendepani cabaran serantau serta global, sekali gus mampu membina semula hubungan negara-negara ASEAN dalam konteks landskap Covid-19 pada ketika ini.
"Kita telah mewujudkan banyak jawatankuasa tinggi dengan negara yang strategik tetapi kerana Covid-19, ia mendesak kita untuk melihat pendekatan di luar kotak.
"ACRF dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sidang Kemuncak ASEAN+Tiga mengenai Covid-19 April lalu ini juga tepat pada masanya dan proaktif untuk digunapakai oleh semua negara terlibat," katanya pada sidang akhbar sempena penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.
ACRF berfungsi sebagai rujukan utama untuk memandu arah strategik dan bidang fokus untuk pemulihan Covid-19 di ASEAN serta mengkordinasikan sokongan untuk usaha pemulihan daripada pihak berkepentingan ASEAN, baik dalaman dan luaran.
ACRF mengambil pendekatan keseluruhan komuniti-ASEAN melalui lima strategi iaitu meningkatkan sistem kesihatan, memperkukuhkan aspek keselamatan, memaksimumkan Potensi Pasaran Intra-ASEAN dan memperluas integrasi ekonomi, mempercepat transformasi digital inklusif dan melangkah ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, peranan Malaysia sebagai negara koordinator hubungan ASEAN-Australia yang telah mengangkat hubungan ASEAN-Australia ke satu tahap penting, juga menjadi satu lagi pencapaian membanggakan negara pada sidang kali ini.
Katanya, ia telah berjaya mencapai konsensus dalam kalangan negara ASEAN bagi membolehkan pemimpin tertinggi ASEAN-Australia bersidang setiap tahun.
"Ini sekali gus membuka peluang kepada kedua-dua pihak memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
"Melalui hubungan ini juga menentukan bagaimana Malaysia dan Australia dapat merintis dan mencari jalan berdepan isu vaksin, dan pendidikan ramai pelajar kita di Australia sekiranya penularan Covid-19 lebih merunsingkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!