Juni cekal hadapi gelora

Juni (kanan) bakal bergandingan dengan Nuraisyah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.
Juni (kanan) bakal bergandingan dengan Nuraisyah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.
A
A
A

ATLET perahu layar negara, Juni Karimah Noor Jamali menganggap pembatalan pertandingan dalam dan luar negara berikutan pandemik Covid-19 menguji persediaan mental dan fizikalnya dalam menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.

Malah, atlet berusia 18 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui tanpa sebarang pertandingan kompetitif, dia kini perlu meningkatkan disiplin semasa sesi latihan agar prestasi semasanya sentiasa konsisten berada pada tahap terbaik.

“Secara jujurnya pertandingan atau latihan di luar negara itu penting kerana selain atlet dapat menguji impak keberhasilan sepanjang sesi latihan sebelum ini, atlet juga dapat merasai mood dan atmosfera pertandingan sebenar.

“Kami memerlukan latihan intensif. Sebagai contoh persekitaran angin di Malaysia dan luar negara tidak sama, kalau di Malaysia jarang untuk dapat angin kuat dan ombak besar yang boleh menguji skil, stamina serta pengendalian boat oleh atlet,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Untuk rekod, Juni yang bergandingan dengan Nuraisyah Jamil, 23, sebelum ini berjaya menyambar slot Olimpik Tokyo 2020 selepas menduduki tempat kelima keseluruhan perlumbaan Kategori International 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019.

Begitupun, Juni tetap positif dengan anjakan tarikh Tokyo 2020 ke tahun depan kerana mempunyai masa untuk memperbaiki teknik dan melakukan persediaan fizikal dengan rapi.

“Ini antara cabaran yang perlu diharungi atlet secara positif kerana ia bukan alasan untuk tidak memberikan sepenuh tumpuan semasa sesi latihan. Walaupun tiada kejohanan kompetitif, saya tidak boleh mengambilnya sebagai halangan bagi menguji prestasi.

“Pada saya, di pusat latihan ini bagi Kelas 470 Antarabangsa, terdapat enam pasangan dan atlet masih lagi boleh menguji prestasi masing-masing,” jelasnya yang kini mengikuti pengajian Diploma Sains Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis.

Artikel Berkaitan:

Juni yang juga atlet Program Podium bersama rakan-rakan sepasukannya sedang giat menjalani program Road to Tokyo (RTT) di Kompleks Perayu Layar Langkawi yang bermula sejak 1 Jun lalu.

Ditanya mengenai norma baharu ketika menjalani sesi latihan, Juni berkata: “Pada mulanya saya akui mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu tetapi lama kelamaan saya sudah biasa dengan keadaan ini.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!