Bagai aur dengan tebing

A
A
A

POKOK aur atau buluh yang berada di tebing sungai berfungsi menghalang hakisan tanah di tebing sungai.

Di samping mengukuhkan tebing, aur yang menumpang pada tebing juga mendapatkan air dari sungai demi kelangsungan hidupnya.

Kesalingbergantungan aur dengan tebing ini mengingatkan penulis tentang betapa akrabnya hubungan manusia dengan ergonomik.

Ergonomik sebenarnya tercetus kesan fitrah kejadian dan batasan manusia. Reka bentuk ergonomik merupakan reka bentuk yang menerapkan faktor kemanusiaan ke dalam peralatan yang digunakan untuk melakukan pekerjaan.

Ia merupakan aplikasi fisiologi, psikologi dan prinsip kejuruteraan terhadap interaksi antara manusia dan mesin atau persekitaran.

Melalui ergonomik, sumber manusia diharapkan dapat memperkasa kesihatan, keselamatan, keselesaan dan produktivitinya.

Penekanan terhadap elemen ergonomik dalam persekitaran kerja mampu dicapai selepas mengambil kira aspek keupayaan fisiologi, anatomi dan psikologi serta batasan individu, peralatan yang digunakan dan persekitaran aktiviti tersebut.

Keperluan kepada penerapan konsep ergonomik dengan keupayaan manusia menjadi semakin tinggi semasa pandemik Covid-19 apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan:

Pada waktu sebegini, sumber manusia dituntut bekerja dari rumah (BDR) dan para pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah (PPDR).

Kesejahteraan dan kesihatan semua pihak yang bekerja atau belajar secara dalam talian berbantukan kemudahan ICT ini menagih pemahaman dan penerapan konsep ergonomik yang selama ini banyak dikaitkan dengan suasana pejabat sahaja.

Aspek ergonomik yang ingin diketengahkan dalam penulisan kali ini adalah aspek pencahayaan kerana ia memainkan peranan penting dalam membantu seseorang menjadi lebih bermotivasi dan produktif.

Cahaya yang mencukupi mampu menyuntik semangat kepada individu dan menceriakan suasana serta membangkitkan keharmonian kepada ruang.

Pencahayaan

Aspek pencahayaan merupakan faktor penting yang banyak berkait dengan penggunaan komputer. Cahaya yang dihasilkan oleh skrin monitor menimbulkan ketidakselesaan terutamanya kepada mata pengguna apabila skrin komputer ditatap terlalu lama.

Penggunaan komputer atau gajet berskrin seperti telefon pintar secara keterlaluan mampu mengakibatkan penyakit sindrom penglihatan komputer (CVS), yang menyebabkan keupayaan penglihatan seseorang merosot.

Selain itu, CVS menyebabkan ketegangan mata, sakit kepala, kabur penglihatan, mata kekeringan dan silau. Oleh itu, individu yang terlibat dalam BDR dan PPDR yang banyak bergantung kepada penggunaan gajet dan komputer perlu mengambil langkah tertentu agar risiko berkait dengan pencahayaan dapat diminimumkan.

Mereka dinasihatkan merehatkan mata selama 15 minit bagi penggunaan komputer selama dua jam secara berterusan. Mereka juga disarankan agar mengalihkan pandangan ke lokasi lain selama 20 saat selepas 20 minit menggunakan peralatan ICT tersebut.

Tempoh masa terlalu lama berdepan dengan gajet dan komputer ketika BDR atau PPDR turut mencetuskan keletihan mental yang menyebabkan sakit kepala, keletihan dan sukar memberi tumpuan kepada aktiviti yang dilakukan. Ketidakselesaan berterusan ini boleh mencetuskan isu stres dan kemurungan.

Pencahayaan di samping tempoh masa penggunaan gajet berskrin seperti komputer dan telefon pintar merupakan pemboleh ubah ergonomik yang perlu diberi perhatian.

Walaupun kelihatan remeh, kealpaan kepada kedua-dua pemboleh ubah ini bakal meninggalkan impak kesihatan yang amat besar kepada diri individu. Hargailah ergonomik demi keselamatan dan kesejahteraan individu umpama penghargaan yang diberikan oleh tebing kepada aur.

* Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!