Sandiwara di media sosial
SESETENGAH orang berpendapat bahawa jika ingin melihat karakter seseorang, kita boleh melayari atau mengikuti media sosial orang berkenaan.
Ada majikan yang cuba menyiasat latar belakang calon yang akan menghadiri temu duga dengan melihat apa yang dipaparkan di media sosial mereka.
Namun, tidak semua orang mempunyai akaun media sosial dan bukan semua juga gemar menggunakannya.
Lebih penting lagi apa yang dipamerkan di media sosial tidak sepenuhnya atau semestinya benar.
Media sosial tidak menunjukkan jati diri seseorang yang sebenarnya. Ia tidak wajar dijadikan sandaran bagi mendapat gambaran hakikat sebenar seseorang individu juga sesuatu perkara secara keseluruhan.
Ibarat panggung wayang, ia boleh menjadi panggung sandiwara bagi sesetengah orang.
Boleh jadi seseorang itu mempunyai ramai kawan serta ribuan pengikut di media sosial namun sahabat sebenar dirinya secara realiti tidaklah seramai itu.
Begitu juga, kemungkinan seseorang itu gemar menulis berkaitan agama dengan mendatangkan nas-nas daripada al-Quran mahupun hadis.
Dalam penulisannya, kumpulan yang tidak sehaluan akan dikutuk atau dikecam sebagai jahil dan sebagainya.
Di dunia nyata, si wira papan kekunci itu mungkin jarang atau tidak pernah ke masjid pun dan tidaklah alim sebagaimana penulisannya.
Di media sosial, gambar yang biasanya dipamerkan juga sangat cantik, mulus, langsing; seolah-olah sempurna. Hakikatnya, muka berjerawat, tubuh berisi dan wajah biasa-biasa sahaja.
Kecanggihan teknologi membolehkan semua orang kelihatan seperti putera dan puteri dari kayangan. Semuanya demi mengumpul ribuan Like dan pujian.
Inilah antara ujian akhir zaman. Kecanggihan teknologi yang sewajarnya bermanfaat boleh membinasakan apabila dijadikan alat untuk berpura-pura, menipu dan membawa kepada riyak, takbur, juga melalaikan.
Dalam dunia hari ini, boleh dikatakan ramai juga yang memiliki dua keperibadian, iaitu satu peribadi di media sosial dan satu peribadi sebenar. Ujian
Umpama kisah Dr Jekyll dan Mr Hyde yang ditulis oleh Robert Louis Stevenson pada 1886. Ia mengisahkan Dr Henry Jekyll yang mempunyai sisi gelap sebagai Edward Hyde.
Bak kata sahabat saya, Saudara Hafiz Hiew yang betul-betul bahagia tidak perlu mencanangkan kebahagiaan mereka di media sosial seolah-olah mereka yang paling bahagia.
Yang betul-betul terpuji tidak akan dahagakan pujian dan yang betul-betul terhina tidak akan tatangkan kehinaan atau keaiban mereka untuk tatapan seantero dunia.
Bahagia atau sengsara, kaya atau miskin, terpuji atau hina, cukuplah antara kita dengan Yang Maha Esa. Kita nampak baik juga kerana ALLAH hijabkan keaiban dan kejahatan kita.
Perkongsian yang berlebihan di media sosial sering dikaitkan dengan gangguan jiwa yang terbit daripada perasaan rendah diri atau low self-esteem sehingga memerlukan sokongan dan Like daripada sahabat-sahabat maya.
Ini mungkin kerana individu terbabit tidak dapat perkara yang sama dalam dunia sebenar.
Pada akhir zaman kini, janganlah kita terlalu percaya atau suka apa yang terdapat di media sosial, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak jelas kesahihannya dan ditulis atau ditayangkan oleh individu yang tidak warak.
Sandiwara di media sosial kadangkala mengalahkan filem Hollywood mahupun Bollywood. Usah juga terlalu bermegah di media sosial kerana tiada lagi sandiwara yang sama di padang mahsyar kelak.
Sebaiknya, perbanyakkanlah ingat bahawa sedikit hari lagi kita akan menjadi jenazah yang bakal dimakan cacing tanah. Itu lebih bermanfaat bagi kita daripada mengia-iakan waktu di media sosial.
*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!