Tun M terdesak, kata Ketua Pemuda Umno
SHAH ALAM – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai terdesak apabila berterusan mengecam kerjasama antara Pas dan Umno yang digelar ‘parti kafir’ .
Asyraf, dalam hantaran terbaharu di media sosial miliknya menyatakan rasa simpati dan kasihannya terhadap Perdana Menteri.
“Terdesak sungguh nampaknya Tun (Mahathir), saya kesian dan simpati. Sekurang-kurangnya Umno sudah melepasi era 22 tahun bersama Tun sebagai Presiden Umno yang dulu sentiasa tanam perasaan benci kepada Pas.
“Insya-ALLAH Umno dan Pas akan terus menjalin kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah kerana itulah yang rakyat mahukan,” katanya di laman sosial Instagramnya.
Tambah Asyraf, kelemahan dan kesilapan lampau akan dijadikan iktibar kerana perkara yang lebih mustahak ialah maju ke hadapan memastikan Islam terpelihara dan kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terbela.
Semalam Dr Mahathir berkata, kemenangan pembangkang mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini disebabkan kerjasama di antara Pas dan ‘parti kafir’ yang dikenali sebagai Umno.
Dengan sinis, Perdana Menteri berkata, gelaran 'kafir' itu bukanlah datang daripada beliau.
Sebaliknya, katanya gelaran itu diberikan sendiri oleh Pas pada suatu ketika dulu.
"Sebab mereka (pembangkang) menang, kita percaya kerana adanya gabungan di antara Pas dengan parti 'kafir' Umno," katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!