Suami isteri maut, dua anak cedera
KANGAR - Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas kereta yang dipandu anak lelaki pasangan itu, terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 17, Jalan Alor Setar - Kangar berhampiran sempadan Kedah dan Perlis, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.55 pagi itu, mangsa Ibrahim Mustaffa dan Zaiton Saleh, masing-masing berusia 60 tahun maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, pemandu dikenali sebagai Mohd Noor Iman Ibrahim, 22, cedera ringan manakala adiknya, Nor Ayu Nadia, 16, patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
“Mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, menuju ke Kuala Perlis sebelum kereta yang dipandu Mohd Noor Iman dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan merempuh sebatang pokok.
“Mangsa yang maut dihantar ke HTF untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!