Kilang papan haram disita
PEKAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyita sebuah kilang papan haram bersama lapan jentera hasil Operasi Tanglung 2019 di Hutan Simpan Bukit Ibam, di sini, semalam.
Dalam operasi selama 10 jam bermula jam 12 tengahari itu, JPNP turut menyita lebih 100 batang balak spesies keruing dan meranti dianggarkan bernilai RM450,000
Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata , pihaknya melalui Bahagian Penguatkuasa JPNP turut menahan 10 individu termasuk dua warga Indonesia berusia 21 hingga 59 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan menebang balak dan aktiviti membelah kayu secara haram.
Menurutnya, jentera yang disita termasuk kenderaan pacuan empat roda, jenkaut, jentera angkat susun (foklif) dan empat lori kecil.
“Hasil maklumat awam, anggota Seksyen Penguatkuasa Pahang Timur bertindak melakukan intipan selama seminggu bagi mengenal pasti lokasi kilang papan terbabit.
“Kedudukan kilang papan yang turut menempatkan dua buah rumah kongsi pekerja itu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Ibam dan siasatan mendapati sindiket berkenaan hanya memilih dan menebang balak jenis keruing dan meranti sahaja,” katanya.
Mohd Hizamri berkata, anggota penguat kuasa menempuh perjalanan sejauh enam kilometer melalui jalan ladang kelapa sawit yang berdebu menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan kilang papan haram terbabit.
"Dalam perjalanan ke sana, anggota penguat kuasa turut terserempak dengan lori tiga tan dipandu lelaki berusia 25 tahun yang membawa muatan kayu bergergaji jenis keruing tanpa permit pemindahan dipercayai keluaran kilang papan itu," katanya.
Beliau berkata, operasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JPNP Mohd Rahim Ramli berjalan lancar dengan bantuan 20 anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Daerah Pekan.
Katanya, individu yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 manakala peralatan serta jentera yang disita ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan di Pejabat Ladang Kemasul, Temerloh.
"JPNP tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan terutama membabitkan aktiviti pencerobohan serta meneroka hutan simpan, membawa keluar hasil hutan tanpa lesen dan perlombongan secara haram.
"Operasi bersepadu bersama pihak polis dan agensi berkaitan akan dilakukan dari masa ke semasa dan pada masa sama kita turut mengharapkan bantuan masyarakat untuk memberi maklumat terhadap kegiatan pencerobohan hutan simpan di negeri ini, agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!