Tiada PKPB di Kelantan esok
KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri menafikan mengeluarkan persetujuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bermula esok akibat penularan koronavirus (Covid-19)
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, penularan mesej berkenaan sejak awal pagi tadi menimbulkan keresahan rakyat di negeri ini.
“Mesej itu tidak benar dan orang ramai dinasihatkan berhenti berkongsi di media sosial,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Mesej yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan yang memaklumkan Kementerian Kesihatan bersama Majlis Keselamatan Negara bersetuju melaksanakan PKPB di Kelantan berkuat kuasa 17 November 2020.
Mesej palsu berkenaan itu juga memaklumkan PKPB akan bermula jam 12 tengah malam ini berikutan kes Covid-19 di Kelantan semakin serius terutama di kawasan bandar.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi juga menafikan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!