Impian ke Singapura bertemu suami dimakbulkan

Perkongsian gambar Nurul Huda di Facebook bersama bayinya selepas memasuki Singapura pada Jumaat lalu.
Perkongsian gambar Nurul Huda di Facebook bersama bayinya selepas memasuki Singapura pada Jumaat lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Saya sangat terharu, syukur segala urusan ke Singapura dipermudahkan," kata Nurul Huda Jaafar, 37.

Nurul Huda yang kini menjalani kuarantin selepas memasuki Singapura menerusi MyTravelPass pada Jumaat lalu, sebak menceritakan detik dia diberikan peluang untuk bertemu dengan suaminya Mohamed Sarbini Mohamed Salleh, 42 tahun selepas hampir lapan bulan terpisah akibat wabak koronavirus (Covid- 19).

Beliau yang bekerja sebagai pelukis pelan di Johor Bahru menjelaskan, pertemuan itu cukup penting buatnya anaknya Mohammad Hamzah, bulan yang belum pernah berjumpa ayahnya sejak dilahirkan.

"Suami saya merupakan warganegara Singapura yang bekerja di syarikat penghantaran (kurier), sebelum ini dia berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari, bagaimanapun disebabkan Covid-19, dia tidak dapat pulang ke rumah di Skudai kerana pintu sempadan ditutup.

"Saya dan suami terpisah sejak Mac lalu dan ketika itu saya sedang sarat mengandung tujuh bulan anak sulung. Kelahiran anak sulung kami sememangnya dinanti-nantikan memandangkan saya dan suami sudah sembilan tahun menunggu untuk menimang cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga," katanya ketika dihubungi menerusi panggilan WhatApps hari ini.

Sejak semalam, perkongsian Nurul Huda mengenai perjalanannya bersama bayinya untuk bertemu suaminya di Singapura tular di Facebook.

Perkongsian itu turut menerima reaksi positif kerana pengorbanan dilakukan Nurul Huda itu selain ada yang bertanya mengenai prosedur memasuki Singapura bagi pasangan warganegara dan penduduk tetap (PR) di sana.

Nurul Huda yang tinggal di Skudai berkata, selepas menjalani kuarantin selama tujuh hari, dia dan anaknya bakal bertemu dengan suaminya buat kali pertama sejak terpisah Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu, saat berjumpa dengan suami nanti adalah yang paling ditunggu-tunggu dan Mohammad Hamzah juga bakal bertemu dengan ayahnya buat pertama kali," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!