Ibu tunggal mengaku miliki dua komputer riba curi

Seorang ibu tunggal hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan berkaitan pemilikan dua unit komputer riba. Gambar hiasan
Seorang ibu tunggal hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan berkaitan pemilikan dua unit komputer riba. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan berkaitan pemilikan dua unit komputer riba.

Soh Nyuk Ling, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Wanita itu didakwa ada dalam milikannya sebuah komputer riba kepunyaan pemilik restoran Azrin Hernie Zambiri, 39.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Setapak Indah Jaya, Setapak di sini pada 11 malam, 7 November lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Soh juga mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi keterangan munasabah bagaimana dia memperoleh sebuah komputer riba jenama lain di Prima Setapak Condo, Jalan Prima Setapak Off Jalan Genting Kelang di sini pada 10 malam, 7 November lepas mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin bagaimanapun peguam M Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya merupakan seorang ibu tunggal kepada dua anak. Dia juga tidak bekerja dan anak guam saya yang menjaga keluarganya,” katanya.

Mahkamah membenarkan Soh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 Januari 2021 untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!