Atlet ragbi terkesan Sukma 2020 dibatalkan
KUALA TERENGGANU - Pembatalan penganjuran temasya Sukan Malaysia edisi ke-20 (Sukma Johor 2020) yang dijadualkan pada tahun depan nyata memberi kesan secara tidak langsung kepada atlet ragbi negeri ini.
Atlet yang terlibat kembali menghitung hala tuju masa depan memandangkan sebahagian besar daripada mereka merupakan pelajar lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).
Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya menyedari hakikat itu dan telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan mereka bagi memberikan sokongan sewajarnya.
“Jawatankuasa tertinggi PRNT bersama barisan jurulatih dan wakil daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu, Adi Hafiza telah hadir untuk mencari penyelesaian terbaik bagi setiap pihak, khususnya para atlet itu sendiri.
“Antara perancangan yang dikenal pasti adalah untuk membantu menempatkan atlet-atlet lepasan sekolah bagi menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
“Bagi atlet lepasan institut pengajian tinggi, pihak persatuan akan berusaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam masa terdekat walaupun berhadapan dengan situasi semasa pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.
Penganjuran Sukma Johor 2020 yang dijadualkan pada tahun hadapan sekali lagi telah ditunda ke tahun 2022.
Berikutan itu, keputusan kenaikan had umur atlet yang belum ditentukan oleh jawatankuasa penganjur sedikit sebanyak memberi tekanan kepada atlet untuk bersama pasukan atau tidak.
Seramai 29 atlet ragbi Terengganu terlibat dalam Sukma 2020, iaitu 15 atlet lelaki dan 14 atlet perempuan.
Mengulas lanjut, Amir berkata, antara hala tuju perancangan pihaknya adalah untuk memastikan setiap bakat yang telah digilap sebagai atlet ragbi negeri tidak disia-siakan begitu sahaja, memandangkan mereka telah berlatih sejak sekian lama di bangku sekolah lagi.
“Sebagai badan induk sukan ragbi di peringkat negeri, kita nak memberikan ruang dan peluang kepada setiap atlet menyuarakan keluhan mereka yang terbuku sejak pengumuman pembatalan Sukma Johor 2020 dalam perjumpaan itu.
“Sewajarnya secara tidak langsung, memberi sokongan moral agar mereka yang terdiri daripada atlet-atlet muda ini tidak hilang punca mencari arah. Sudah pasti kami di peringkat persatuan perlu membantu apa termampu yang tidak hanya meletakkan temasya Sukma sebagai titik noktah untuk mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!