Pas harap pembangkang sokong Belanjawan 2021
KOTA BHARU - Pas berharap semua ahli Parlimen terutamanya pembangkang dapat memberi sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya juga memberi sokongan sebaik mungkin terhadap perkara tersebut walaupun ada beberapa perkara dan teguran yang dibuat semasa perbahasan.
"Kita memang menyokong Perdana Menteri dalam Perikatan Nasional (PN). Walaupun mungkin dalam perbahasan itu ada pandangan dan teguran yang dilontarkan, itu hanya perkara biasalah.
"Kita harap semua ahli Parlimen dan pembangkang menyokong bajet ini walaupun ada benda-benda yang kita tidak berpuas hati," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Amar hadir Wacana Memartabat Legasi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Tiga Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Hotel H Elite di sini hari ini.
Beliau turut merasmikan buku Biografi Ringkas Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, semasa Pas menjadi pembangkang, mereka juga ada menyuarakan rasa tidak puas hati dan ia dibuat melalui perbahasan.
Malah katanya, pembangkang tidak sepatutnya menjadikan pembentangan Belanjawan 2021 mengikut citarasa mereka memandangkan ia adalah bajet kerajaan dan kerajaan juga mempunyai objektif sendiri yang hendak dicapai.
"Ada pertimbangan dia sendiri, masa Pakatan Harapan jadi kerajaan pun dia (PH) tidak berunding pembangkang. Dia pun buat belanjawan dia sendiri, itu biasalah.
"Dalam perbahasan boleh saja kemukakan teguran dan pandangan, tetapi saya harap kalau boleh sokonglah sebab ini untuk kepentingan orang ramai.
"Bila bajet tidak diluluskan, bukan soal politik tetapi kesannya adalah pada perancangan, gaji dan sebagainya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Risiko besar jika belanjawan gagal diluluskan
Belanjawan 2021 mesti diluluskan: Pengarah Belanjawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!