Pati kena cekup sebelum sempat jumpa rakan
PELABUHAN KLANG - Hajat tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk bertemu rakan di Jeti Awam Pelabuhan Klang, di sini, tidak kesampaian selepas dicekup pihak berkuasa.
Tangkapan itu dibuat kira-kira jam 4 petang, semalam, semasa rondaan Ops Gelora sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, tangkapan dibuat secara berasingan dan dapati ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 36 hingga 45 tahun itu tidak mengenali antara satu sama lain.
“Pemeriksaan dapati kesemua mereka ini merupakan warga Bangladesh.
“Kita telah semakan lanjut dan kesemua Pati ini gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dipercayai ketiga-tiga warga Bangladesh ini datang ke jeti terbabit untuk ke Bukit Tinggi, Klang bertemu rakan mereka.
Katanya, kesemua warga asing ini telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1969/63,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!